Gaji minimum RM1,500 tetap dilaksanakan 1 Mei

Ismail Sabri (dua dari kanan) bersama jemputan dan sebahagian bekas pekerja Perwaja Steel di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Kemaman pada Ahad.
Ismail Sabri (dua dari kanan) bersama jemputan dan sebahagian bekas pekerja Perwaja Steel di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Kemaman pada Ahad.
A
A
A

KEMAMAN - Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 akan tetap dilaksanakan bermula 1 Mei ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perincian berhubung pelaksanaan skim gaji baharu itu akan diumumkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"Walaupun terdapat pelbagai cadangan dan rayuan, saya beri jaminan bahawa gaji minimum pada 1 Mei nanti akan tetap diteruskan.

"Cuma perinciannya akan dijelaskan Menteri Sumber Manusia," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Pampasan Bekas Pekerja Perwaja di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Kemaman pada Ahad.

Kerajaan sebelum ini meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.

Pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan meminda peruntukan agar guru gred DG 48 ke atas yang tidak terlibat dalam pentadbiran dibenarkan aktif dalam kesatuan.

“Saya sudah berhubung dengan Ketua Setiausaha Negara supaya perkara ini dipinda semula.

“Saya percaya dalam akta memang tidak membenarkan guru dalam pentadbiran berpersatuan tetapi seperti saya katakan kerajaan hari ini komited untuk bersama-sama pekerja,” katanya.