PSG menyamai rekod St Etienne

Messi meraikan jaringan pendahuluan PSG ketika berdepan Lens di Paris.
Messi meraikan jaringan pendahuluan PSG ketika berdepan Lens di Paris.
A
A
A

GERGASI Ligue 1, Paris St Germain (PSG) menyamai rekod St Etienne apabila mengesahkan kejuaraan liga ke-10 selepas dipaksa berhempas pulas mengikat RC Lens 1-1 dalam perlawanan di Parc des Princes, Paris.

Kejayaan Les Parisiens asuhan Mauricio Pochettino itu menyaksikan PSG menyamai rekod St Etienne, yang memenangi 10 gelaran liga utama liga Perancis antara 1957 dan 1981 sebelum ini.

Pada perlawanan itu, bintang Argentina, Lionel Messi terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-68 apabila pelawat terpaksa beraksi 10 pemain setelah Kevin Danso dilayangkan kad kuning kedua di minit ke-57 selepas mengasari Neymar.

Bagaimanapun, ketinggalan satu gol tidak menyentap semangat Les Sang et Or kendalian Franck Haise apabila pemain gantian Corentin Jean yang dimasukkan pada minit ke-82 meledak gol penyamaan di minit ke-88 sekali gus mengikat anak buah Pochettino.

Keputusan di Paris itu menyaksikan PSG memenangi lapan daripada 10 gelaran Ligue 1 terakhir, selepas dinafikan AS Monaco pada 2017 dan Lille musim lalu.