Tiga lelaki ditahan bersama 88 mesin lombong bitcoin

Antara mesin melombong mata wang digital bitcoin yang dirampas dalam dua serbuan berasingan pada Khamis lalu. Gambar kecil: Habibi
Antara mesin melombong mata wang digital bitcoin yang dirampas dalam dua serbuan berasingan pada Khamis lalu. Gambar kecil: Habibi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seramai tiga lelaki warga tempatan dan merampas 88 mesin melombong mata wang digital bitcoin dalam dua serbuan berasingan di Taman Sri Sinar Segambut dan Taman Usahawan Kepong di sini pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepasukan anggota dari Bahagian D4 (Risikan/ Operasi/ Rekod Jenayah) JSJ Kuala Lumpur telah menyerbu sebuah premis di Taman Sri Sinar Segambut di sini pada jam 12.09 tengah malam.

"Kita menahan tiga lelaki dan merampas 30 mesin dipercayai digunakan untuk melombong bitcoin secara haram.

"Kita turut merampas satu komputer riba, satu unit desktop, lima telefon bimbit, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dan sebuah kereta Proton Saga," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Habibi berkata, hasil soal siasat, pihaknya menyerbu sebuah premis di Taman Usahawan Kepong pada jam 1.38 pagi.

"Kita merampas 58 mesin juga dipercayai digunakan untuk melombong bitcoin secara haram, satu unit monitor, satu unit pemprosesan komputer (CPU), satu unit tetikus, satu unit keyboard dan satu router," katanya.

Habibi memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 27 Akta Bekalan Eletrik 1990.