Projek LCS: Anwar tuntut penjelasan jumlah kerugian ditanggung LTAT

Anwar Ibrahim - FOTO SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Anwar Ibrahim - FOTO SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Menteri Pertahanan memberi penjelasan mengenai kerugian yang ditanggung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) susulan keputusan kerajaan bersetuju projek perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) diteruskan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, menurut rekod soalan-soalan di Parlimen yang diajukannya sebelum ini, Kementerian Pertahanan masih belum menjawab secara terperinci terutamanya tentang kos sebenar pemerolehan LCS.

"Menteri jangan ambil mudah hal ini kerana bukan hanya kerana ia melibatkan sejumlah dana yang besar, tapi atas dasar ketelusan ia mesti dijawab.

"Saya juga tuntut menteri menjelaskan tentang berapa kerugian yang ditanggung LTAT akibat keputusan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Pada 30 Mac lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Parlimen dan kabinet telah bersetuju untuk meneruskan projek pembekalan perolehan LCS.

Projek LCS bernilai RM9.128 bilion mencetuskan tanda tanya selepas berlakunya kelewatan dalam penghantaran kapal tersebut meskipun sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan enam kapal berkenaan secara serentak.

Setakat ini, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) belum menerima sebarang kapal yang disiapkan walaupun perjanjian kontrak pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS 1 iaitu dua buah kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.

LTAT mempunyai pegangan majoriti terhadap Boustead Holdings Berhad (BHB), iaitu syarikat yang dianugerahkan kontrak projek LCS pada 2011.