Lynas simpan 1.2juta tan sisa berjadual?

Dari kiri, Jade, Chean Chung dan Kai Ping menunjukkan laporan AIE.
Dari kiri, Jade, Chean Chung dan Kai Ping menunjukkan laporan AIE.
A
A
A

KUANTAN - Memasuki usia tujuh tahun, operasi kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd yang memproses nadir bumi di Pusat Perindustrian Gebeng, dekat sini, sekali lagi menimbulkan tanda tanya aktivis anti Lynas.

Penasihat Undang Undang Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Hon Kai Ping berkata, antaranya penyimpanan jumlah sisa berjadual yang meningkat sehingga melebihi satu juta tan di loji Lynas.

Menurutnya, sedangkan di bawah Peraturan Buangan Berjadual 2005 Akta Kualiti Alam Sekitar (Environmental Quality Act (EQA), tidak lebih daripada 20 tan sisa boleh disimpan di tapak selama lebih daripada 180 hari.

"Tetapi di Gebeng, jumlah ini sudah mencapai 1.2 juta tan iaitu melebihi 60,000 kali ganda berbanding jumlah yang dibenarkan? Bagaimana ia boleh berlaku? Peraturan sudah jelas tetapi mengapa tidak ada penguatkuasaan?

"Jika ada pindaan atau tambahan dibuat dalam peraturan tersebut, persoalannya kenapa begitu ketara perbezaan jumlah tan yang dibenarkan?

"Pada awal benarkan cuma 20,000 tan namun kini sehingga 1.2 juta tan pun masih dibenarkan di bawah peraturan? Mengapa? " Katanya dalam sidang media oleh aktivis Anti Lynas, SMSL di Pusat Komuniti Dun Semambu di sini.

Hadir sama, Penasihat Teknikal SMSL, Jade Lee dan ADUN Semambu, Lee Chean Chung.

Artikel Berkaitan:

Dr Ismail (kiri) hadir sama pada sidang media tersebut.
Dr Ismail (kiri) hadir sama pada sidang media tersebut.

Sementara itu, Chean Chung berkata orang ramai dijemput untuk meneliti Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang kini terdapat di Pusat Komuniti DUN Semambu bagi mengetahui dan memahami lebih jelas mengenai impak alam sekitar projek itu.

Menurutnya, tempoh sehingga 6 April diberikan untuk orang ramai mengemukakan maklum balas mengenainya.

"Jika RM10 juta diperlukan untuk membersihkan Sungai Kim Kim, berapa diperlukan Malaysia untuk membersihkan sisa Lynas berjumlah lebih 1 juta tan ini sekiranya ia benar benar merisikokan penduduk Kuantan? Siapa akan bayar?.

"Ini bukan semata-mata isu penduduk Kuantan. Ia tentang kesihatan dan persekitaran orang ramai yang perlu dipandang serius," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Keselamatan/Pengurusan Radiasi, Lynas Advance Materials Plant (LAMP) Profesor Dr Ismail Bahari berkata, adalah tidak adil untuk membandingkan residu Lynas dengan pencemaran di Sungai Kim Kim, Johor.

Menurutnya, kilang pengeluar bahan nadir bumi itu telah dipantau dari hari pertama ia beroperasi pada 2012 dan tidak pernah ada satu kejadian yang menyebabkan sebarang risiko berlaku kepada umum.