JKM, polis selamatkan kanak-kanak perempuan didera ibu tiri

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun diselamatkan Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis daripada terus menjadi mangsa dera ibu tirinya di sebuah rumah di Sikamat, dekat sini, Isnin lepas.

Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, mangsa kini sedang dirawat di Wad Kanak-Kanak Hospital Tuanku Ja’afar, di sini.

"Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu cedera di bahagian muka kiri dan telinga kiri, mengalami kesan cubitan di bahagian tangan, lengan, bahu dan belakang badannya selain kesan rotan di belakang badan dan kaki kiri.

"Kanak-kanak berkenaan turut mendakwa dia ditumbuk di bahagian perut dan kepala dan berasa sakit di beberapa bahagian badan selain berada dalam keadaan sangat lapar ketika diselamatkan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Rosnah berkata, susulan itu satu perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 akan dipohon selepas keadaan kanak-kanak itu stabil.

Beliau berkata, Pegawai Pelindung Daerah Seremban akan menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan penempatan tetap terbaik bagi kanak-kanak berkenaan selain syarat tambahan bersesuaian akan dicadangkan kepada mahkamah demi kesejahteraan, kebajikan dan masa depannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

"Tangkapan dibuat terhadap seorang wanita warga Indonesia berusia 30 tahun yang merupakan ibu tiri mangsa pada Selasa lepas namun dijamin pada hari sama. Siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun dipercayai menjadi mangsa dera ibu tirinya yang mendakwa mahu ‘mengajar’ kanak-kanak itu kerana mencuri lolipop di sebuah premis sebelum berjaya diselamatkan hasil aduan jiran mangsa. - Bernama