312 sekolah di Kedah akan dipasang kemudahan gentian optik

Annuar (kanan) melakukan kunjungan hormat ke atas Muhammad Sanusi di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon pada Jumaat. - Foto Bernama
--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Annuar (kanan) melakukan kunjungan hormat ke atas Muhammad Sanusi di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon pada Jumaat. - Foto Bernama --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 312 sekolah di seluruh Kedah akan dipasang kemudahan gentian optik bagi membolehkan capaian rangkaian internet yang lebih stabil dan berkelajuan tinggi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) itu dijangka turut memanfaatkan penduduk di sekitar sekolah yang terpilih.

"Banyak infrastruktur yang berkaitan dengan internet dan rangkaian ini disediakan oleh pihak swasta. Jadi pemasangan fiber optik di sekolah ini akan menjadi platform untuk meningkatkan kemudahan jalur lebar kawasan sekitar di sekolah berkenaan.

"Sekolah tersebut dipilih berdasarkan keperluan di bawah Jendela yang kebanyakannya di kawasan luar bandar bandar,” katanya kepada Bernama selepas menerima kunjungan hormat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di kediaman rasminya di sini pada Jumaat.

Muhammad Sanusi berkata, K-KOMM akan menyenaraikan sekolah yang terpilih dan menyerahkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Beliau berharap pemasangan gentian optik itu dapat dilaksanakan secepat mungkin memandangkan Kedah antara negeri yang sangat memerlukan liputan internet yang lebih luas dan berkelajuan tinggi.

"Kita bercakap mengenai pendigitalan tapi talian (liputan internet) tidak ada, di negeri lain juga menghadapi masalah yang sama. Kalau kementerian dapat mempercepatkan pemasangan ini, ia sangat membantu dalam pembangunan negeri Kedah,” katanya.

Beliau turut berharap Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di negeri ini dapat dinaik taraf dan dilengkapi kemudahan internet berkelajuan tinggi bagi memberi manfaat kepada penduduk kampung khususnya usahawan kecil yang menjalankan perniagaan secara dalam talian. - Bernama