Abbas minta AS campur tangan hentikan tindakan Israel di Palestin

Mahmoud Abbas. - Foto: AFP
Mahmoud Abbas. - Foto: AFP
A
A
A

RAMALLAH - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan pentadbirannya campur tangan menghentikan tindakan Israel di wilayah Palestin, terutamanya di Baitulmaqdis Timur, lapor Xinhua.

Abbas membuat permintaan itu pada Khamis ketika mengadakan pertemuan dengan Pemangku Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Timur Tengah Yael Lambert dan Timbalan Penolong Setiausaha Negara bagi Israel dan Hal Ehwal Palestin Hady Amr, di bandar Ramallah Tebing Barat.

Abbas memberitahu dua wakil AS bahawa 'Israel perlu segera menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin dan menghormati sepenuhnya undang-undang dan sejarah Masjid Al-Aqsa,' lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Abbas menganggap Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap situasi yang semakin meruncing di wilayah Palestin, terutamanya di Baitulmaqdis Timur dan di Masjid Al-Aqsa.

"Keengganan Israel menghentikan tindakan unilateral dan mematuhi perjanjian yang ditandatangani, membenarkan pemimpin Palestin melaksanakan keputusan Majlis Pusat PLO dalam masa terdekat," kata Abbas.

Beliau memberi amaran terhadap peningkatan pencerobohan Israel di bandar, kampung dan kem Palestin, pembunuhan rakyatnya dan "serangan kejam di Tebing Barat, akan membawa kepada akibat lagi buruk."

"Adalah penting mewujudkan persefahaman politik hingga membawa kepada penamatan pendudukan Israel di wilayah Palestin," kata Abbas, sambil menggesa pembukaan semula Konsulat AS di Baitulmaqdis Timur.

Dua diplomat tinggi AS itu melawat Israel, Jordan dan Tebing Barat dalam usaha menamatkan ketegangan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Ketegangan antara Israel dan Palestin memuncak sejak beberapa minggu lalu susulan perayaan Yahudi Passover bertindih dengan Ramadan, bulan suci umat Islam.

Pekarangan Masjid Al-Aqsa merupakan tapak suci bagi umat Islam dan Yahudi. - Bernama