13,892 perniagaan terima geran, pinjaman langganan khidmat digital

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah RM92.9 juta telah disalurkan oleh kerajaan kepada 13,892 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi setakat 15 April, 2022, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM700 juta itu adalah bertujuan menggalak perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC) ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan.

Tengku Zafrul menambah, setakat tempoh yang sama juga, melalui peruntukan RM600 juta bagi PKS and PKS Mikro yang masih terkesan dengan penularan Covid-19, terdapat 753 permohonan bagi pembiayaan sektor pelancongan Penjana dan daripada jumlah ini sebanyak 393 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM79.1 juta.

Sementara itu, bagi Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) yang menyediakan kemudahan skim jaminan berjumlah RM50 bilion dengan jaminan sehingga 80 peratus bagi tujuan modal kerja, kerajaan telah menerima sebanyak 92 permohonan daripada syarikat.

"Setakat 8 April, 2022, jumlah jaminan yang telah diluluskan adalah sebanyak RM2.070 bilion bagi 61 buah syarikat," katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat ke-93 yang dikeluarkan hari ini.

Menyentuh mengenai Program Subsidi Upah (PSU) pula, Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhannya, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM20.683 bilion kepada 357,703 majikan bagi mengekalkan penggajian 2,956,121 pekerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Tambah menteri kewangan itu, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah berjaya menempatkan 51,037 pekerja setakat 31 Mac, 2022, melalui inisiatif Insentif Penggajian JaminKerja dengan peruntukan sejumlah RM2 billion bagi tahun 2022.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan bantuan padanan caruman sebanyak 80 peratus di bawah Pelan 2 (RM232.80) dengan hanya 20 peratus (RM46.60) sahaja perlu dibayar oleh kumpulan sasaran Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang telah dikhususkan kepada lapan kategori.

Kategori tersebut ialah SPS Asal, Gig, Jaja, Lain Upaya, Lancong, Seni, Tani dan Usahawanita.

"Setakat 17 April, 2022, sebanyak 36,610 OBS telah pun mencarum dengan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM8.523 juta," jelasnya.

Dari segi skim perlindungan sosial khidmat pula, beliau berkata sebanyak 21,964 OBS telah mencarum di bawah Pelan Caruman 2 dan 4 dengan tempoh perlindungan selama 12 bulan dengan nilai kutipan sebanyak RM5.696 juta, setakat 17 April, 2022.

Sementara itu, dalam laporan tersebut, Tengku Zafrul turut menggalakkan orang ramai melakukan transaksi tanpa tunai di kaunter perkhidmatan kerajaan selari dengan kempen Cashless 2.0 yang berjalan sehingga 31 Mei, 2022.

Peraduan kempen tersebut menawarkan wang tunai RM10,000 kepada 100 orang pemenang.

Bagi PKS, mereka pula digalak untuk memohon Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

"Ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran ekonomi pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050," katanya.

Dalam hal berkaitan, beliau berkata, Malaysia sentiasa komited untuk mempercepatkan peralihan negara kepada pertumbuhan hijau dan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SGD) menjelang 2030.

Beliau turut berkongsi beberapa inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan melalui pendekatan senegara untuk membantu mengemudi negara ke arah neutraliti karbon di Persidangan ke-7 Gabungan-Gabungan Menteri Kewangan Untuk Tindakan Iklim (CFMCA) pada 19 April, 2022 di Washington, Amerika Syarikat.

Inisiatif itu termasuk rancangan Malaysia untuk melancarkan Pasaran Karbon Sukarela (VCM) melalui Bursa Malaysia sebagai langkah awal negara menceburi perdagangan kredit karbon. - Bernama