96 tahanan etnik Rohingya masih belum dijumpai

 Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah ketika operasi mencari etnik Rohingya di dalam hutan sekitar Nibong Tebal yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap. - Foto Bernama
Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah ketika operasi mencari etnik Rohingya di dalam hutan sekitar Nibong Tebal yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap. - Foto Bernama
A
A
A
ALOR SETAR - Sebanyak 96 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Rabu lalu masih belum ditemukan setakat jam 6 pagi pada Jumaat.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, jumlah tersebut membabitkan 76 lelaki, sembilan wanita, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

Menurutnya, seramai 432 tahanan etnik Rohingya telah ditemui dan pihak berkuasa sedang giat memburu baki tahanan yang melarikan diri itu.

"Tahanan etnik Rohingya yang telah ditemui membabitkan 218 lelaki, 88 wanita, 65 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sinar Harian melaporkan seramai kira-kira 700 pendatang tanpa izin (PATI) dari Depot Sementara Imigresen Relau dilaporkan melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi Rabu.

Daripada jumlah itu, enam PATI yang cuba melintas di Kilometer 165 Lebuhraya Utara Selatan maut dilanggar kenderaan dalam kejadian lebih kurang jam 6.50 pagi.

Mangsa maut terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa, satu kanak-kanak perempuan dan satu kanak-kanak lelaki.