Radhi OAG tidak mengaku cederakan bekas isteri

Penyanyi, Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali Radhi OAG mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya di sebuah tempat parkir di Kota Damansara dua hari lalu. - Foto Bernama
Penyanyi, Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali Radhi OAG mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya di sebuah tempat parkir di Kota Damansara dua hari lalu. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Vokalis kumpulan OAG, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya, Selasa lalu.

Radhi, 45, yang hadir di mahkamah dengan memakai baju kurta berwarna biru gelap membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shaira Ayu Zahiri, 28, di parkir di Kota Damansara pada jam 2.29 petang 19 April lalu.

Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Husain mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam, Haziq Aizuddin Subhi yang mewakili penyanyi itu, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minima.

"Nilai RM7,000 amat tinggi memandangkan tertuduh perlu menjaga anak-anaknya dan jika nilai tinggi diberi ia akan menyukarkan anak guam saya untuk menjaga mereka," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Muhammad Iskandar membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pada Khamis, penyanyi yang juga vokalis sebuah kumpulan itu direman dua hari kerana disyaki memukul bekas isterinya hanya kerana enggan bergambar di kawasan parkir di sebuah kediaman di Kota Damansara.

Untuk rekod, Ayu dan Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali melangsungkan perkahwinan pada 14 April 2014.

Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata yang kini masing-masing berusia tujuh dan enam tahun.

Bagaimanapun, lima tahun kemudian, pasangan itu memutuskan untuk berpisah selepas Radhi melafazkan talak satu di rumah mereka.

Sebelum perkahwinan bersama Ayu, Radhi pernah mendirikan rumah tangga bersama Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, yang kini berusia 17 tahun.