Tiga hari lepaskan kontena jika tiada isu di Pelabuhan Klang

Ka Siong ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemain industri logistik di kementeriannya pada Khamis. - Foto Bernama
Ka Siong ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemain industri logistik di kementeriannya pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kontena yang ditahan bagi pemeriksaan di Pelabuhan Klang perlu diperiksa dan dilepaskan dalam masa tiga hari sekiranya tiada isu atau keperluan untuk pemeriksaan lanjut berkuat kuasa 1 Mei.

Ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) Penahanan/ Pemeriksaan/ Pelepasan Kontena oleh Agensi Penguatkuasaan/ Agensi Kerajaan Lain/Pihak Berkuasa Pelabuhan Di Pelabuhan Klang baharu yang akan dilaksanakan di lokasi itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sebelum ini, tiada tempoh masa atau had khusus ditetapkan dalam pelepasan kontena termasuk yang ditahan untuk pemeriksaan lanjut hingga menyebabkan berlaku kesesakan di Pelabuhan Klang.

"Dulu perlu menunggu kerana tiada tempoh had masa yang kita berikan kepada sesuatu proses pengurusan kontena.

"Sebelum itu ada juga kes-kes kontena diletakkan di pelabuhan dan selepas kita ambil tindakan, ada selepas lima tahun, tuan punya kontena termasuk syarikatnya tidak dapat dikesan," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Logistik Negara di sini pada Khamis.

Ka Siong berkata, SOP itu dirangka untuk meningkatkan koordinasi antara agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) bagi pengurusan kontena.

"Kalau kita tidak dapat diselaraskan dengan baik, kelewatan sehari atau dua hari akan mengakibatkan kerugian pengeluaran," katanya.

Ka Siong berkata, sekiranya SOP itu berjaya dilaksanakan di Pelabuhan Klang, pihaknya akan melaksanakan SOP yang sama di pelabuhan lain di Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan fasa kedua polisi perkongsian 'prime mover' (penggerak utama atau kepala lori) akan diperluaskan kepada semi-treler (badan lori) jenis luton atau kotak dan kargo am, berkuatkuasa 5 Mei depan.

"Dalam fasa pertama yang bermula September tahun lepas, Kementerian Pengangkutan hanya membenarkan perkongsian 'prime mover' dengan semi-treler yang membawa jenis kontena dalam kumpulan syarikat yang sama.

"Pelaksanaan fasa kedua itu juga akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia terlebih dahulu," katanya. - Bernama