RM1.73 juta untuk perkasa belia Sabah jauhi dadah

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sabah meluluskan sejumlah RM1.73 juta kepada Majlis Belia Sabah (MBS) untuk mengadakan program pemerkasaan belia dan kempen kesedaran penyalahgunaan dadah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Pengerusi MTMD berkata, ini selaras dengan objektif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu pembangunan modal insan dan golongan belia merupakan aset penting bagi negeri ini.

"Saya berharap semua program itu akan diselaraskan dengan Kementerian Belia dan Sukan negeri serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MTMD Sabah tahun ini di Menara Kinabalu di sini pada Khamis.

Ketua Menteri pada mesyuarat itu berkata, sebanyak RM464,000 turut diluluskan untuk AADK Sabah menjalankan kempen kesedaran awam melalui pengiklanan papan iklan di 32 lokaliti di seluruh negeri.

Sementara itu, Hajiji mengulangi bahawa semua pegawai daerah yang dilantik sebagai penyelaras kawasan berisiko tinggi di peringkat daerah perlu memastikan kawasan terbabit dihijaukan daripada sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Sebagai pengerusi MTMD daerah, pegawai daerah perlu mengambil tindakan membanteras dadah yang mengancam kawasan masing-masing. Dadah kekal sebagai ancaman nombor satu negara. Kami akan terus menumpukan usaha untuk membanteras gejala sosial ini,” katanya.

Beliau berkata, Likas diisytiharkan sebagai kawasan hijau pada 2021 berikutan arahan MTMD agar pihak berkuasa yang berkaitan mengambil tindakan proaktif membebaskannya daripada aktiviti penyalahgunaan dadah dan segala usaha sedang dilakukan untuk memastikan Likas kekal hijau. - Bernama