JAINJ kompaun 97 individu tak puasa

JAINJ mengeluarkan kompaun kepada umat Islam tidak berpuasa dalam operasi di Tampoi dan Jalan Abdullah Tahir.
JAINJ mengeluarkan kompaun kepada umat Islam tidak berpuasa dalam operasi di Tampoi dan Jalan Abdullah Tahir.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengeluarkan kompaun terhadap 97 individu tidak berpuasa menerusi beberapa siri serbuan dijalankan sejak awal Ramadan hingga kini.

Ketua Pengarah Penguatkuasaan JAINJ, Dzulkafli Mohamed berkata, mereka berusia antara 20-an hingga 50-an melibatkan warganegara Malaysia dan pekerja asing.

"JAINJ telah menjalankan 75 serbuan dalam siri Ops Kesan bertujuan membanteras perbuatan tidak menghormati bulan Ramadan.

"Antara perbuatan yang diambil tindakan dalam operasi ini termasuklah makan, minum dan juga menghisap rokok di kawasan awam dan tempat terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai seramai 13 pegawai dan anggota JAINJ dalam Ops Kesan di Tampoi dan Jalan Abdullah Tahir di sini pada Khamis.

Pihaknya turut mengeluarkan 23 notis kesalahan kepada pemilik kedai kerana menjual makanan dan minuman kepada individu tidak berpuasa.

Katanya, semua notis kesalahan yang dikeluarkan itu mengikut Seksyen 15(a) dan Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.