Bayi 'dibuang' depan kedai berada dalam keadaan sihat

Halimaton Shaadiah mendukung Muhammad Noah sambil disaksikan Shaballah (tengah) dan Shahrin Nizar di Taman Sinar Harapan Jitra pada Khamis.
Halimaton Shaadiah mendukung Muhammad Noah sambil disaksikan Shaballah (tengah) dan Shahrin Nizar di Taman Sinar Harapan Jitra pada Khamis.
A
A
A

JITRA - Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan yang ditinggalkan dalam kotak di hadapan sebuah kedai runcit di Kuala Kedah pada 10 April lepas kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Jitra.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, bayi berusia 11 hari itu ditemui di Kampung Padang, Kuala Kedah kira-kira jam 1.40 petang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam memberitahu, bayi diberi nama Muhammad Noah itu kini memiliki berat 3.18 kilogram (kg).

"Muhammad Noah berada dalam keadaan sihat dan mendapat Perintah Jagaan Sementara di Taman Sinar Harapan mengikut Perenggan 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah memohon ibu bapa atau waris atau sesiapa sahaja memiliki maklumat untuk menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Mohd Sabri Saad di talian 04-7202370," katanya pada sidang media di Taman Sinar Harapan Jitra, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah JKM Kedah, Shaballah Zainal Abidin dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Shahrin Nizar Azudin.

Dalam perkembangan sama, Halimaton berkata, kadar kes pembuangan bayi di Kedah menurun pada tahun ini.

"Setakat ini, hanya satu kes pembuangan bayi direkodkan di negeri ini," katanya.

Tambahnya, Skuad Wanita Anti Jenayah (Waja) ditubuhkan di Kedah sejak tahun lepas bagi membantu golongan wanita termasuklah ibu hamil luar nikah.

Katanya, Skuad Waja memainkan peranan sebagai ejen serta mata dan telinga kerajaan, sekali gus membantu golongan teraniaya ataupun hamil.

"Skuad Waja membolehkan golongan berkenaan mendapat bantuan sewajarnya dan tidak dipinggirkan keluarga," katanya.