Rafizi beri wang menang saman NFC kepada orang ramai

Gambar kecil: Tangkap layar Twitter Rafizi
Gambar kecil: Tangkap layar Twitter Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk menggunakan wang diperolehinya hasil kemenangan dalam kes saman National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) untuk orang ramai.

Beliau berkata, wang tersebut akan ‘dipulangkan’ kepada orang ramai dalam bentuk biasiswa dan bantuan kecil.

“Mahkamah Persekutuan hari ini (Khamis) memutuskan saya menang kes saman yang dibawa NFC terhadap saya.

“Siri kes NFC bermula tahun 2011 dan berlarutan hingga 2022. Ada tiga kes terhadap saya, saya menang semuanya,” katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya pada Khamis.

Mahkamah Persekutuan pada Khamis membuat keputusan membatalkan rayuan NFC dan pengerusinya, Mohamad Salleh Ismail, dalam samannya terhadap bekas ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.

Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed berkata, Rafizi, yang juga naib presiden PKR, berjaya membangkitkan pembelaan komen berpatutan untuk mengalahkan saman itu.

Rafizi yang diwakili oleh Razlan Hadri Zulkifli dan Ranjit Singh turut dianugerahkan kos RM70,000 manakala NFCorp dan Salleh diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Salleh memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi pada 2013, selepas beliau mendakwa Salleh dan NFCorp menggunakan pinjaman kerajaan RM71 juta sebagai cagaran untuk membeli hartanah di KL Eco City.

Susulan daripada itu, Mahkamah Tinggi pada 2016 memerintahkan Rafizi membayar ganti rugi RM150,000.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2019 membenarkan rayuan Rafizi dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi serta mengarahkan wang RM150,000 yang telah dibayar kepada Salleh dikembalikan dan menganugerahkan kos RM110,000 kepada Rafizi.