Lelaki dukung bapa mula cari kerja untuk sara keluarga

Mohd Farihan mula mencari pekerjaan selepas bapanya yang dijaga sejak sembilan tahun lalu meninggal dunia pada Ahad.
Mohd Farihan mula mencari pekerjaan selepas bapanya yang dijaga sejak sembilan tahun lalu meninggal dunia pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Lelaki yang tular kerana sentiasa mendukung dan menjaga bapanya seperti bayi kini mula mengorak langkah mencari pekerjaan lebih stabil selepas bapanya meninggal dunia pada Ahad lalu.

Mohd Farihan Ab Hamid, 31, berkata, sepanjang sembilan tahun menjaga bapanya, banyak pekerjaan dilakukan namun tidak bertahan lama kerana bapanya enggan berenggang dan sering menangis kerana tidak mahu berjauhan dengannya.

"Banyak kerja saya pernah buat seperti menjadi pengawal keselamatan, kerja pungut sampah, namun tidak bertahan lama sebab saya tidak boleh tinggalkan ayah.

"Sepanjang tempoh itu perbelanjaan berjimat. Ada wang bantuan pun digunakan dengan cermat. Sekarang masa yang sesuai untuk saya mencari kerja dan bekerja dengan lebih baik untuk menyara keluarga," katanya yang mempunyai dua orang cahaya mata berusia lapan bulan dan enam tahun.

Farihan berkata, dia tidak memilih kerja asalkan berpunca daripada rezeki yang halal dan tidak jauh dengan keluarganya yang tinggal di Kuala Nerus.

Katanya, isterinya, Maziana Abdul Manan, 37, juga tidak bekerja kerana perlu menjaga anak yang masih kecil.

"Kalau nak hantar anak-anak ke pusat jagaan atau pengasuh kami tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Lebih baik anak-anak dijaga oleh isteri dan saya bekerja.

"Saya pun tidak senang duduk juga sebab masih belum dapat kerja yang sesuai. Mungkin belum ada rezeki lagi. Saya harap Ramadan kali ini dapat merubah nasib kami sekeluarga dan saya mendapat pekerjaan yang lebih baik," katanya.

Bapa Mohd Farihan, Allahyarham Ab Hamid Mat Hussin, 64, meninggal dunia pada Ahad lalu di rumah sewa mereka di Kampung Gong Pak Jin di Kuala Nerus dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Keruak di Besut.

Dua tahun lalu, kisah Mohd Farihan yang tidak pernah berenggang menjaga bapanya dengan mendukung ke mana-mana sahaja termasuk menaiki motosikal pernah tular di media sosial.

Kisah itu ditularkan seorang pengguna laman sosial Facebook setelah bertemu Mohd Farihan membawa bapanya dengan menunggang motosikal ke sebuah pasar raya.