Negara perlu ada pelan holistik selesai isu PATI

Tan Sri Abdul Halim Ali
Tan Sri Abdul Halim Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Negara memerlukan satu pelan hala tuju atau ‘roadmap’ bagi menyelesaikan isu-isu serius berkenaan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia, kata bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali.

Beliau berkata, pelan tersebut perlu menyasarkan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing di Malaysia khususnya mereka yang masuk secara haram.

Katanya, isu tersebut sekiranya tidak ditangani dikhuatiri berpotensi menjejaskan negara dalam jangka masa panjang.

“Sekarang tidak tahu jumlahnya. Ada yang kata tiga juta, ada yang kata lima juta. Yang mana satu betul? Bila mereka ini masuk tanpa izin, tempat duduk dia dalam keadaan cukup daif. Keadaan itu boleh menyebabkan pembiakan penyakit.

“Kita tengok Covid-19 dulu macam mana keadaan tempat duduk pekerja asing ini. Jadi mesti ada satu dasar yang holistik bagaimana kita dapat menangani masalah ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu kebanjiran PATI di dalam negara sehingga menyebabkan berlakunya kejadian melarikan diri kira-kira 528 tahanan etnik Rohingya dari Pusat Tahanan Relau pada awal pagi Rabu.

Seramai enam orang tahanan dalam kejadian tersebut dilaporkan maut ketika cuba melintas Lebuhraya Utara Selatan manakala 229 lagi berjaya diberkas semula di Kilometer 168 lebuh raya sama.