Permohonan biasiswa kerajaan Jepun dibuka hingga 20 Mei

Permohonan biasiswa tajaan kerajaan Jepun (Monbukagakusho:MEXT) bagi sidang akademik 2023 untuk program sarjana muda telah dibuka untuk permohonan bermula sekarang hingga 20 Mei depan. - Foto 123rf
Permohonan biasiswa tajaan kerajaan Jepun (Monbukagakusho:MEXT) bagi sidang akademik 2023 untuk program sarjana muda telah dibuka untuk permohonan bermula sekarang hingga 20 Mei depan. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan biasiswa tajaan kerajaan Jepun (Monbukagakusho:MEXT) bagi sidang akademik 2023 untuk program sarjana muda telah dibuka untuk permohonan bermula sekarang hingga 20 Mei depan.

Kedutaan Jepun di Malaysia dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, penerima biasiswa sarjana muda akan mendapat elaun bulanan kira-kira 117,000 yen (anggaran RM4,000), jumlah tertakluk kepada perubahan.

“Yuran untuk peperiksaan kemasukan universiti, matrikulasi dan tuisyen di universiti adalah dikecualikan, selain tiket kapal terbang pergi balik juga disediakan.

“Tarikh tutup permohonan adalah pada 20 Mei 2022 (Jumaat) sebelum jam 4 petang. Borang permohonan dan garis panduan boleh diambil dari Kedutaan Jepun atau dicetak dari laman web Kedutaan Jepun (www.my.emb-japan.go.jp),” katanya.

Menurut kenyataan itu, pemohon bagi biasiswa itu mestilah berumur antara 17 hingga 25 tahun pada 1 April 2023 iaitu dilahirkan antara 2 April 1998 dan 1 April 2006.

Tambahnya, pemohon juga perlu menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mempunyai sekurang-kurangnya 11 tahun pendidikan formal, tidak termasuk kelas peralihan.

“Pelajar yang sudah tamat Sijil Tinggil Pengajian Malaysia (STPM), A-level, sijil Unified Examination Certificate (UEC), matrikulasi atau diploma juga boleh memohon dengan keputusan STPM, A-Level, UEC, matrikulasi atau diploma.

“Pemohon mesti mahir dalam bahasa Inggeris atau bahasa Jepun dan mempunyai keputusan cemerlang bagi subjek lain. Sebarang permohonan yang lewat tidak akan dipertimbangkan,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.my.emb-japan.go.jp atau hubungi 03-2177-2600 (ext. 146 [sarjana muda]) atau emelkan ke edu@kl.mofa.go.jp.

Perkhidmatan kaunseling pengajian tinggi di Jepun juga disediakan secara dalam talian pada setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis bermula jam 10 pagi12 tengah hari (kecuali cuti umum).