Malaysia perlu kemuka pendirian jelas isu Uighur

Malaysia perlu menyatakan pendirian jelas dalam mendepani isu penindasan umat Islam etnik Uighur di Xinjiang, China pada ketika ini. (Gambar kecil: Abdul Razak)
Malaysia perlu menyatakan pendirian jelas dalam mendepani isu penindasan umat Islam etnik Uighur di Xinjiang, China pada ketika ini. (Gambar kecil: Abdul Razak)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pendedahan bukti dakwaan berlaku kekerasan dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap etnik minoriti Uighur di Xinjiang, China oleh beberapa media antarabangsa, seharusnya dipandang serius oleh masyarakat Malaysia.

Justeru, pengasas institut pemikir Bait Al-Amanah, Dr Abdul Razak Ahmad mencadangkan kerajaan Malaysia mengambil pendekatan lebih jelas dalam mengemukakan pendirian terhadap isu penindasan etnik tersebut yang majoritinya beragama Islam.

Selain itu, beliau turut mencadangkan Malaysia mewujudkan wakil khas untuk menangani permasalahan berkenaan.

"Ada beberapa perkara yang Malaysia boleh lakukan. Pertama, perlu mendesak kerajaan untuk mempunyai pandangan yang lebih jelas dalam perkara ini.

"Ini kerana, kita tidak begitu konsisten dalam menyuarakan perkara ini walaupun secara jelas kita tidak melakukan perkara yang memudaratkan masyarakat Uighur di tanah air kita, seperti menghantar mereka pulang.

“Kedua, sudah tiba masanya juga untuk Malaysia mempunyai special envoy (wakil khas) dalam menyuarakan isu Islamofobia. Saya melihatnya sebagai isu Islamofobia, agar ia dapat ditangani bukan sahaja di peringkat bilateral, malah di peringkat universal," katanya dalam satu program Awani Pagi yang membincangkan topik 'Etnik Muslim Uyghur Ditindas China: Benar atau Tidak?' pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abdul Razak turut melihat Malaysia mengambil pendekatan lebih sederhana dalam menyuarakan isu penindasan terhadap etnik minoriti Uighur berbanding isu penindasan umat Islam yang berlaku di Palestin dan Syria.

Tegasnya, apa sahaja tindakan yang dilakukan, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian yang lebih jelas selain tidak menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan China.

"Walaupun ia sukar dilakukan selari dengan usaha memastikan aliran perdagangan dan pelaburan menggalakkan, Malaysia tidak boleh kecundang dalam mempertahankan umat Islam sejagat.

"Malah, masyarakat antarabangsa juga memainkan peranan untuk mengetengahkan isu ini agar penyelesaian drastik dapat dilakukan,” ujarnya.