Tanah lapangan terbang: Mohammad Nizar beri keterangan esok

MOHAMMAD NIZAR
MOHAMMAD NIZAR
A
A
A

IPOH - Bekas exco kerajaan negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengesahkan dirinya dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penjualan tanah bagi tapak cadangan lapangan terbang di Seri Iskandar.

Beliau berkata, sepatutnya rakaman percakapan sebagai saksi itu dibuat pada 15 April lalu namun tidak dapat berbuat demikian kerana berada di luar Perak.

"Memang saya ada dipanggil untuk memberikan keterangan tetapi ketika itu saya ada urusan di Selayang.

"Insya-ALLAH, mungkin esok saya akan hadir ke Pejabat SPRM Perak untuk memberikan keterangan," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Selain beliau, ADUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi turut dipanggil SPRM bagi memberikan keterangan pada 15 April lalu.

Asmuni bersama beberapa bekas exco kerajaan negeri termasuk Mohammad Nizar sebelum ini tampil mengemukakan laporan kepada SPRM meminta siasatan dibuat terhadap penjualan tanah bagi tapak lapangan terbang di Seri Iskandar susulan pendedahan bahawa transaksi dibuat ketika zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah Perak.

Pada 18 April lalu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad menjelaskan seramai 10 lagi individu termasuk bekas exco kerajaan negeri dipanggil membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penjualan tanah tapak lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Selain bekas exco kerajaan negeri, turut akan dipanggil ialah pegawai PKNP, pegawai kerajaan negeri dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

SPRM sebelum ini telah merakam kenyataan tiga saksi membabitkan pegawai PKNP dan kerajaan negeri Perak berhubung isu penjualan tanah itu bagi membantu siasatan.

Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming pada Persidangan Dewan Negeri Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan itu.