Aidilfitri: Kapasiti pengeluaran LRA AKSB ditingkatkan

Air Kelantan Sdn Bhd.
Air Kelantan Sdn Bhd.
A
A
A

KOTA BHARU - Semua Loji Rawatan Air (LRA) Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan beroperasi dengan kapasiti maksimum dengan keseluruhan pengeluaran air sebanyak 519 juta liter sehari (JLH) bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat sepanjang cuti perayaan Aidilfitri tahun ini.

AKSB dalam kenyataan pada Rabu memberitahu, pihaknya juga sedang melaksanakan projek penggantian dan pemulihan telaga tiub yang masih dalam pembinaan dan dijangkakan siap menjelang Aidilfitri ini.

"Dengan penyiapan projek ini, penambahan sebanyak 14 JLH akan dapat diperoleh dan akan meningkatkan pengeluaran air terawat kepada 533 JLH.

"Kawasan yang terlibat dengan penambahan air terawat ini melibatkan sebahagian jajahan Kota Bharu dan Bachok," menurut kenyataan itu.

AKSB memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual di LRA yang boleh menyebabkan pengurangan pengeluaran akan ditunda.

AKSB juga akan memastikan stok bahan kimia di LRA mencukupi bagi pengoperasian loji sepanjang musim perayaan hari raya nanti.

"Sebanyak 443 tangki statik (TS) bersaiz 500 hingga 2,000 gelen ditempatkan di seluruh jajahan iaitu di kawasan yang bertekanan rendah dan sering mengalami gangguan bekalan air.

"TS diletakkan di lokasi-lokasi strategik untuk membolehkan pengguna mendapatkan bekalan air terawat jika berlaku gangguan bekalan air terawat," menurut kenyataan itu.

AKSB turut menyediakan sembilan lori tangki air miliknya dan tambahan 22 lori tangki air kontrak (LAK) di seluruh jajahan untuk mengisi air di TS dan menghantar air kepada pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air. - Bernama