PGA rampas mercun bernilai RM500,000

Suspek ditahan bersama mercun dianggarkan berjumlah RM500,000 di sebuah premis di Sungai Abong Muar. - Foto PGA
Suspek ditahan bersama mercun dianggarkan berjumlah RM500,000 di sebuah premis di Sungai Abong Muar. - Foto PGA
A
A
A

MUAR - Batalion 5 Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM500,000 di sebuah premis di Taman Pertama Indah, Sungai Abong di Muar pada Isnin.

Pegawai Pemerintahnya, Superitendan Dimin Awang berkata, lelaki warga tempatan dan warga Indonesia berusia lingkungan 27 hingga 29 tahun itu ditahan anggota pasukannya kira-kira jam 11.00 pagi.

"Hasil pemeriksaan dalam lori menjumpai lima kotak besar mengandungi pelbagai jenis mercun dan tujuh guni berisi mercun jenis bola.

"Manakala, pemeriksaan dalam premis menjumpai 434 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan lima guni berisi mercun jenis bola," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Menurut Dimin, menerusi tangkapan dan rampasan itu, pihaknya berjaya memutuskan satu kegiatan pengedaran dan penjualan mercun di sekitar Muar.

"Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Muar untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Akta Bahan Letupan 1957," katanya.