[VIDEO] Polis lengkapkan kertas siasatan lelaki hina Nabi Muhammad

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang melengkapkan siasatan berkaitan kes hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di laman Facebook oleh pemilik akaun Uthaya Sankar SB.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan berkenaan kes ini masih dijalankan.

"Tindakan masih dijalankan untuk polis melengkapkan siasatan.

"Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. Polis juga menyeru orang ramai untuk menggunakan platform media sosial sebaik mungkin tanpa menyentuh sensitiviti agama dan kaum," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada 11 April, polis menahan seorang lelaki di Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor bagi membantu siasatan berhubung hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di Facebook.

Suspek berusia 50 tahun itu ditahan pada jam 11.15 pagi dan polis merampas telefon bimbit yang digunakan memuat naik hantaran berkenaan.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan atas alasan agama suasana tidak harmoni atau perasaan permusuhan atau memudaratkan perpaduan.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.