Peratus bukan Bumiputera sambung TVET rendah

Kulasegaran pada sidang media.
A
A

SEREMBAN – Peratus pelajar bukan Bumiputera menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah sangat rendah.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan bagi mengubah persepsi negatif terhadap bidang berkenaan yang sebenarnya mempunyai skop kerja yang luas selain amat berpotensi.

“Kemasukan pelajar Cina ke TVET, hanya satu peratus dan pelajar India pula hanya lima peratus. Yang jadi masalah kepada kita bila hanya 65 peratus daripada 1,000 yang berjaya diisi sedangkan ramai tenaga pengajar disediakan.

“Salah satu usaha dilakukan kerajaan untuk beri galakan ialah sediakan kursus jangka pendek dalam tempoh tiga hingga enam bulan berbanding dahulu setahun atau dua tahun,” katanya ketika ditemui pada program Menteri Bersama Rakyat di Pasar Baru Pekan Rantau di sini, hari ini.

Menurutnya, ibu bapa main peranan penting beri galakan kepada anak-anak menjadikan TVET sebagai pilihan untuk menyambung pengajian.

Beliau berkata, apa yang lebih menarik apabila rekod menunjukkan 94 peratus lepasan TVET mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian.

Selain itu katanya, negara memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir supaya tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing.

“Menjadi sasaran kerajaan untuk meningkatkan jumlah tenaga mahir kepada 35 peratus menjelang tahun 2020 berbanding sekarang yang hanya 28 peratus.

“Kita sangat berharap golongan muda jadikan TVET sebagai pilihan utama mereka,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia