Sila log masuk terlebih dahulu.

Ops Hari Raya Aidilfitri: Lima kesalahan tidak dibenar dikompaun

Semua pengguna jalan raya diminta memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. (Gambar kecil: Wee Ka Siong)
Semua pengguna jalan raya diminta memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. (Gambar kecil: Wee Ka Siong)
A
A
A

PUTRAJAYA - Memandu di lorong kecemasan dan penggunaan telefon bimbit sewaktu pemanduan antara lima kesalahan lalulintas utama yang tidak dibenarkan untuk dikompaun sepanjang Operasi Bersepadu bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bermula 29 April hingga 8 Mei depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sebaliknya kesalahan-kesalahan tersebut perlu diselesaikan di mahkamah.

Menurutnya, kesalahan lain yang turut tersenarai adalah gagal patuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan memotong barisan

"Seramai 2,200 orang anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlibat dalam Ops Hari Raya Aidilfitri sebagai inisiatif utama untuk mengurangkan kadar nahas di jalan raya.

"Sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Bersepadu ini, kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres juga akan dilakukan," katanya dalam ucapan pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri dekat sini pada Isnin.

Mengekalkan tema "Pandu Cermat, Sampai Selamat, Ops Bersepadu itu melibatkan kolaborasi kerajaan dan swasta iaitu JPJ, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya akan turut dijalankan.

Selain itu beliau berkata, JPJ juga turut menjalankan pra Ops Hari Raya Aidilfitri bermula 25 hingga 28 April ini melibatkan pemeriksaan bas ekspres di 75 depoh dan 28 terminal bas utama bertujuan memastikan kondisi bas sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Artikel Berkaitan:

"Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga akan berkuat kuasa pada tiga hari sebelum dan dua hari selepas perayaan.

"Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya nahas di jalan raya akibat percampuran aliran trafik bersama kenderaan berat dan juga kenderaan ringan lain," katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, KKR akan mewartakan penurunan had laju 10km/j bagi jalan Persekutuan dan jalan negeri membabitkan 80km/j bagi jalan Persekutuan manakala 70km/j di jalan negeri bagi tempoh yang sama,

"Bukan itu sahaja, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat konsesi penyenggaraan jalan raya, supaya melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan rutin lebih awal dan disiapkan sebelum tarikh OPS Bersepadu, termasuklah arahan pemberhentian kerja penyenggaraan dan pembinaan dalam rizab jalan Persekutuan dan jalan negeri serta mengalihkan semua jentera serta peralatan jauh dari bahu jalan.

"Bagaimanapun, pemberhentian kerja penyenggaraan dan pembinaan ini adalah dikecualikan bagi kerja menampal potholes, kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, semua pengguna jalan raya diminta memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengurangkan berlakunya kes-kes kemalangan melibatkan kecederaan serta kematian.

"Kita perlu membudayakan kesedaran kendiri bagi meningkatkan pematuhan kepada undang-undang jalan raya dengan pemakaian tali pinggang keselamatan, pematuhan had laju, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, sabar, bertimbang rasa dan penggunaan tempat duduk kanak-kanak.

"Melalui pendekatan ini, saya pasti, risiko nahas di jalan raya dan kehilangan nyawa akan dapat dikurangkan. Justeru, marilah kita sama-sama berazam dan berusaha bagi mengurangkan nahas di jalan raya dengan menjadikan jalan raya kita lebih selamat," katanya.