Majlis khatam al-Quran di Karangkraf esok

Seramai 15 peserta terdiri daripada kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah akan menyertai Majlis Khatam al-Quran sempena sambutan Nuzul al-Quran di Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Gambar kecil: Meen Tahrin
Seramai 15 peserta terdiri daripada kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah akan menyertai Majlis Khatam al-Quran sempena sambutan Nuzul al-Quran di Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Gambar kecil: Meen Tahrin
A
A
A

SHAH ALAM - Bersempena dengan sambutan Nuzul al-Quran pada tahun ini, buat julung kalinya, bahagian Islamik Sinar Harian, Sinar Islam Plus (SI+) akan mengadakan Majlis Khatam al-Quran.

Bertemakan Tinta Emas Mencipta Generasi Taqaddum, majlis akan diadakan pada 19 April bertempat di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam bermula jam 5 petang.

Seramai 15 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah telah mendaftarkan diri untuk mengambil bahagian pada acara memuliakan al-Quran itu.

Menurut Pengarah Projek, Meen Tahrin, dua orang mualim yang bertauliah akan membimbing anak-anak itu ketika acara berlangsung.

Katanya, sebagai tanda penghargaan, setiap peserta akan diberikan sijil berserta senaskhah al-Quran kerana berjaya khatam al-Quran dalam usia yang muda.

Di samping itu, mereka juga bakal menerima duit raya sumbangan ikhlas daripada Sinar Karangkraf.

“Kami berharap agar majlis ini memberi inspirasi kepada anak-anak yang lain untuk terus membaca al-Quran dan sekali gus menjadikan al-Quran sebagai teman setia mereka.

“Semoga program ini berupaya menjadi cetusan kepada ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka mencintai warisan agung peninggalan Nabi Muhammad SAW. Seterusnya dijadikan sebagai amalan rutin dan panduan kepada kehidupan kita.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH, kita akan menjadikan majlis ini sebagai acara tahunan dan lebih besar lagi tentunya pada masa akan datang, bergantung kepada situasi semasa,” ujarnya.

Majlis yang mendapat tajaan daripada CO-OP Bank Pertama itu akan dipancarkan secara langsung melalui semua media sosial Sinar Harian termasuk Facebook SI+, SinarPlus dan Sinar Bestari.