Ngah Wanja bantu Kenari atasi Harimau Kumbang

Ngah Wanja (tengah) menjaringkan dua gol membantu KDA FC mengatasi Penang FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Ahad. - Foto KDA FC
Ngah Wanja (tengah) menjaringkan dua gol membantu KDA FC mengatasi Penang FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Ahad. - Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC bangkit menewaskan pasukan jiran, Penang FC 2-1 pada aksi kelima Liga Super selepas ketinggalan pada separuh masa pertama di Stadium Bandaraya pada Ahad.

Sang Kenari yang turun dengan misi tiga mata terlebih dahulu hampir berada di hadapan seawal minit ke-2 menerusi sepakan percuma penyerangnya, Syafiq Ahmad namun percubaannya sekadar singgah di palang pasukan tuan rumah.

Ronald Ngah Wanja kemudiannya menanduk bola ke gawang lawan namun dinafikan oleh penjaga gol Harimau Kumbang, Khatul Anuar Md Jalil yang telah bersedia lebih awal.

Tuan rumah yang berjaya mengimbangi corak permainan pantas KDA FC akhirnya terlebih dahulu berada di hadapan 1-0 menerusi Hilal Al-Helwe pada minit ke-16 selepas memanfaatkan lorongan yang dilakukan oleh Saravanan.

Tersentak jaringan tersebut, pelawat kembali menyusun perlawanan lebih pantas dan hampir menjaringkan gol penyamaan menerusi percubaan Al Hafiz Harun pada minit ke-24 namun ditepis keluar oleh Khatul Anuar.

KDA FC meningkatkan tempo serangan pada separuh masa kedua untuk memburu gol penyamaan dan Ngah Wanja melakukan tandukan pada minit ke-54 namun tepat ditangkap oleh penjaga gol tuan rumah.

Pemain import Cameroon itu kemudian melakukan satu percubaan dan terkena palang gol pada minit ke-60 dan asakan berterusan KDA FC menyaksikan mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas Ngah Wanja dijatuhkan dalam kotak penalti seminit kemudian oleh pertahanan lawan, Ariff Ar- Rashid.

Ngah Wanja memanfaatkan sebaik mungkin peluang tersebut untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-62.

Artikel Berkaitan:

Empat minit kemudian, Sang Kenari berjaya berada di hadapan 2-1 hasil serangan balas dan Ngah Wanja sekali kali membuktikan dirinya penyerang berkualiti dengan menjaringkan gol tersebut selepas menerima hantaran Fazrul Danel Mohd Nizam.

Penang FC cuba bangkit pada minit-minit akhir menerusi percubaan Syamim Baharuddin pada minit ke-90 namun sekadar menggegarkan palang pasukan pelawat.

Kemenangan tersebut menyaksikan KDA FC merampas kembali kedudukan nombor dua Liga Super 2022 dari Sabah FC dengan mengumpul 12 mata selepas lima perlawanan.