Penghidap edema rayu bantuan rawatan

Ahmad Shahrul Nizam tidak mampu berjalan dan hanya duduk di atas katil sejak Mac lalu.
Ahmad Shahrul Nizam tidak mampu berjalan dan hanya duduk di atas katil sejak Mac lalu.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Seorang penghidap edema atau bengkak di bahagian perut yang baru sahaja sembuh dari penyakit Covid-19 kini terpaksa berdepan dugaan apabila tidak mampu berjalan akibat bengkak yang dihadapinya itu.

Ahmad Shahrul Nizam Nayan, 54, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nelayan, Telok Gong pada Ahad berkata, keadaan tersebut mula dirasai selepas menjalani tempoh kuarantin di unit rawatan rapi (ICU) di hospital.

Lebih menyedihkan apabila dia menghadapi masalah berat badan berlebihan dan sehingga September tahun lalu sudah melebihi 219 kilogram.

Menurut Ahmad Shahrul Nizam, doktor meminta tempoh kuarantin dilanjutkan namun dia merayu mahu pulang dan mendakwa mengalami luka di beberapa bahagian badan akibat alahan terhadap jarum ketika dirawat di hospital itu

"Saya tidak dapat berjalan seperti biasa selepas keluar dari hospital malah mengalami trauma terhadap jarum dan takut untuk menonton televisyen.

"Pernah juga satu masa ketika mandi di pintu rumah, saya tidak boleh bangun dan terpaksa memanggil jiran-jiran untuk berjalan ke katil.

"Kalau jatuh, memang perlu ramai orang untuk mengangkat saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Shahrul Nizam juga memberitahu, setakat ini dia dan keluarga bergantung kepada wang bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,400 sebulan sejak berhenti kerja pada tahun 2015 akibat masalah kesihatan.

Selain itu, dia turut menerima bantuan kewangan daripada Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM400 sebulan untuk menampung pembelian ubat-ubatan.

Bagaimanapun katanya, wang tersebut masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian di samping kos perubatan yang terus meningkat kepada RM800 sebulan.

"Keadaan saya menyukarkan pergerakan untuk ke hospital bagi rawatan berkala dan menyebabkan keluarga terpaksa memantau sendiri kesihatan saya.

"Sebelum ini saya mempunyai kereta yang telah diubahsuai di bahagian dalam untuk membawa saya ke hospital, tetapi disebabkan berat saya mula bertambah dan bengkak hingga ke lutut, ia tidak dapat menampung lagi.

"Saya harap ada pihak yang dapat membantu dari segi perubatan kerana pergerakan saya sangat terbatas. selain perbelanjaan yang tidak mencukupi," katanya.