TFC ll puas hati biarpun menang tipis

Pemain Terengganu FC II (TFC II), Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali (kanan) diasak oleh pemain pasukan Kelantan United FC pada saingan Liga Premier 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam Sabtu. - Foto Bernama
Pemain Terengganu FC II (TFC II), Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali (kanan) diasak oleh pemain pasukan Kelantan United FC pada saingan Liga Premier 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC ll (TFC ll), Badrul Afzan Razali tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya biarpun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Kelantan United malam Sabtu.

Jurulatih kelahiran Terengganu itu berkata, kemenangan tersebut amat bermakna kerana misi mengutip tiga mata penuh di laman sendiri akhirnya tercapai.

Bagaimanapun katanya, masih banyak aspek permainan yang perlu diperbaiki terutama di bahagian tengah yang dilihat lambat membantu jentera serangan.

"Tahniah kepada pemain saya yang berusaha keras membuat kebangkitan semula selepas kalah 1-2 kepada pasukan PDRM FC tempoh hari.

"Walaupun sekadar menang 1-0, yang pentingnya tetap tiga mata berharga yang menentukan kedudukan di liga," katanya ketika sidang akhbar selepas aksi Liga Premier menentang Kelantan United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam Sabtu.

Gol tunggal TFC ll dijaringkan Jordan Mintah pada minit ke-45, sekali gus menjadikan skuad The Turtles kini menduduki tangga keempat liga di belakang Selangor ll dengan kutipan enam mata.

Sementara itu, jurulatih skuad Kijang Hijau, Syamsul Mohd Saad berkata, ketiadaan dua tonggak utama, Amidu Salifu dan Muhammad Haziq Subri di bahagian tengah merencatkan perancangan taktikal Kelantan United malam Sabtu.

Selain itu, faktor keletihan turut menyebabkan anak buahnya terpaksa bergelut untuk mencari kemenangan sepanjang 90 minit permainan.

"Salifu dan Haziq terpaksa direhatkan kerana cedera dan ini memberi impak besar kepada pasukan memandangkan mereka berdua ialah tonggak yang menghidupkan setiap perlawanan.

Artikel Berkaitan:

"Lagi pula, selepas perlawanan dengan Projek FAM-MSN di Kuala Lumpur Rabu lalu, kami terus ke sini (Kuala Terengganu). Jadi saya boleh kata 80 peratus pemain yang beraksi malam ini (malam tadi) bukan dalam keadaan kecergasan 100 peratus," katanya. - Bernama