Liverpool tempah tiket final Piala FA

Pertahanan Liverpool, Andrew Robertson (kanan) bersaing dengan Grealish dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley sebentar tadi.
Pertahanan Liverpool, Andrew Robertson (kanan) bersaing dengan Grealish dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley sebentar tadi.
A
A
A

LIVERPOOL terus menyalakan impian memburu empat gelaran musim ini selepas mara ke pentas final Piala FA dengan menewaskan Manchester City 3-2 dalam aksi separuh akhir di Wembley sebentar tadi.

Tonggak pertahanan, Ibrahima Konate membuka tirai jaringan Liverpool apabila menanduk masuk bola ke gawang City hasil sepakan sudut sewal minit kesembilan.

Penyerang berbisa, Sadio Mane menambah gol kedua Liverpool pada minit ke-17 akibat kesilapan penjaga gol City, Zack Steffen yang gagal mengeluarkan bola lebih awal dalam kotak penalti.

Mane terus menambah tekanan City apabila menyumbat gol ketiga Liverpool selepas menyudahkan umpanan Thiago Alcantara pada minit ke-45.

City bangkit memperagakan aksi lebih bertenaga sebaik babak kedua bersambung apabila Jack Grealish menjaringkan gol pertama The Citizens pada minit ke-47.

Bernardo Silva terus menambah semangat City untuk mengejar Liverpool apabila menyumbat gol kedua pada masa kecederaan babak kedua.

Namun, jaringan itu dianggap sudah terlewat untuk sekurang-kurangnya City mengikat Liverpool dan mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Selain hanya selangkah lagi muncul juara Piala FA, skuad The Reds kini masih dalam persaingan merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Artikel Berkaitan:

Berbaki tujuh perlawanan, Liverpool yang mengintai gelaran EPL kedua dalam tempoh tiga musim hanya ketinggalan satu mata di belakang City yang mendahului puncak liga.

Malah, Liverpool juga berjaya menempah slot ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan Benfica dalam saingan suku akhir.

Pada Februari lalu, Liverpool menyambar trofi sulung musim ini apabila menjuarai Piala Liga selepas menewaskan Chelsea 11-10 menerusi penentuan sepakan penalti.