Polis buru lelaki tetak ahli keluarga, isteri dengan parang

No Image Caption
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis kini sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai menetak empat ahli keluarganya dengan sebilah parang di Kampung Sedili Kecil di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, suspek berusia 38 tahun itu menyebabkan kecederaan terhadap isteri, ibu mertua, adik ipar lelaki dan adik ipar perempuannya.

“Polis menerima makluman berhubung kejadian kira-kira jam 8.22 malam Selasa melalui panggilan kecemasan bahawa terdapat empat mangsa ditetak dengan sebilah parang.

"Suspek dikatakan secara tiba-tiba mengamuk dan bertindak mencederakan ahli keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Hussin berkata, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tambah beliau, sehingga kini usaha mengesan suspek masih giat dijalankan manakala kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil di hospital.

“Justeru, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nurul Syafiqah Khalid di talian 019-5121568 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel Berkaitan: