Cerai isteri secara dalam talian umpama buka aib diri sendiri

Idris
Idris
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan seorang individu yang melafazkan cerai talak tiga kepada isterinya menerusi siaran secara langsung di aplikasi laman sosial diumpamakan seperti membuka aib diri sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, tindakan itu sepatutnya perlu dielakkan kerana dibimbangi boleh mengundang pelbagai persepsi tidak baik.

"Kita patut rasa malu dengan perbuatan seperti ini (lafaz cerai dalam talian secara langsung). Walaupun penceraian adalah perkara halal namun ia tidak disukai oleh ALLAH SWT," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pembangunan Keluarga Mawaddah Kelantan pada Sabtu.

Hadir sama Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Mengulas lanjut, Idris berkata, penceraian adalah kaedah terakhir yang boleh diambil oleh pasangan suami isteri selepas mereka habis membuat perundingan itu pun dengan talak satu.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan agar kedua-dua pihak boleh berfikir secara waras dengan tindakan yang diambil itu dan ia merupakan salah satu bentuk pendidikan yang telah diaturkan oleh Islam.

"Jadi tindakan sebegini perlu dielakkan supaya tidak berulang pada masa hadapan. Mungkin mereka mahu menaikkan rating di laman sosial sehingga sanggup berbuat demikian.

"Namun apa maknanya sehingga menggadai dan mengaibkan maruah diri sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, seorang selebriti dalam talian melafazkan cerai talak tiga terhadap isterinya menerusi siaran langsung di laman sosial miliknya pada Rabu lalu.

Selebriti berusia 53 tahun itu muncul bersiaran secara langsung selepas tujuh hari dilaporkan hilang sebelum mengakhiri siaran itu dengan lafaz cerai talak tiga terhadap isterinya.