Skuad 69 ziarah pusara bekas KPN

Alias (dua kanan) bersama rakan Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM menziarahi pusara dua bekas Ketua Polis Negara di tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang pada Sabtu.
Alias (dua kanan) bersama rakan Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM menziarahi pusara dua bekas Ketua Polis Negara di tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) menziarahi pusara dua bekas Ketua Polis Negara (KPN) yang disemadikan di tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini pada Sabtu.

Timbalan Presidennya, Datuk Alias Abd Rahman berkata, perkuburan terbabit menempatkan pusara bekas KPN kedua, Tun Mohamed Salleh Ismael dan KPN ketiga, Tan Sri Abdul Rahman Hashim.

"Kita menganjurkan bacaan surah Yasin dan tahlil sebagai memperingati jasa kedua-dua bekas KPN yang banyak berkorban untuk negara sepanjang perkhidmatan mereka," katanya ketika ditemui di tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini pada Sabtu.

Alias berkata, Allahyarham Mohamed Salleh adalah anak Melayu pertama dilantik memegang jawatan tertinggi itu sebagai KPN kedua bagi menggantikan Tan Sri Claude Harry Fenner pada 29 Mac 1966.

"Banyak jasa beliau kepada negara antaranya, menubuhkan Pasukan Sukarelawan Polis dan Pasukan Kadet Polis. Beliau meninggal dunia pada 31 Januari 1973," katanya.

Alias berkata, pihaknya juga menziarahi pusara Allahyarham Abdul Rahman yang bersebelahan pusara Mohamed Salleh.

"Beliau dilantik sebagai KPN yang ketiga pada 1 Februari 1973. Kematian tragisnya angkara anasir subversif pada 7 Jun 1974.

"Amat menyedihkan apabila beliau terkorban selepas ditembak 11 das di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Chulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Alias, pihaknya sentiasa memberi penghormatan kepada dua tokoh PDRM itu walaupun mereka sudah meninggal dunia.

"Dua tokoh PDRM ini sangat berwibawa dan bertanggungjawab, mereka juga mengambil berat tentang anggota polis. Kita sentiasa mendoakan kesejahteraan serta rahmat ke atas kedua-duanya," katanya.