Janin ditemui di loji kumbahan

Janin bayi ditemui tersangkut pada loji kumbahan di Tanjung Malim pada Jumaat. Foto: ihsan pembaca, gambar kecil: Mior Faridalathrash
Janin bayi ditemui tersangkut pada loji kumbahan di Tanjung Malim pada Jumaat. Foto: ihsan pembaca, gambar kecil: Mior Faridalathrash
A
A
A

TANJUNG MALIM - Satu janin bayi ditemukan tersangkut pada besi penapisan sampah, loji kumbahan syarikat Indah Water Konsortium Kota Malim Prima di sini pada Jumaat.

Janin yang tidak dikenalpasti jantinanya itu dijumpai pekerja syarikat tersebut kira-kira jam 10.20 pagi ketika sedang melakukan pembersihan di sistem penapisan loji terbabit.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, janin tersebut dipercayai dibuang melalui lubang tandas sebelum melalui saluran kumbahan.

Menurutnya, sisa kumbahan loji tersebut berpunca daripada beberapa taman perumahan dan kawasan perindustrian sekitar Kota Malim Prima.

"Siasatan lanjut ke atas janin mendapati ia tidak cukup sifat dan masih bertali pusat. Janin berukuran 9 sentimeter dan seberat 130 gram.

"Usia janin dianggarkan bawah 23 minggu dan disyaki telah meninggal dunia lebih 24 jam," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis serah tugas antara Ketua Polis Daerah Muallim, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dengan Deputi Superintenden Koo Tai Chew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini.

Tai Chew yang juga Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim akan memangku jawatan tersebut berkuat kuasa hari ini selepas Sulizmie Affendy dinaikkan pangkat daripada Superintendan kepada Asisten Komisioner.

Sulizmie Affendy yang bertugas di IPD Muallim hampir dua tahun itu akan memulakan tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah (Perisikan/Siasatan Khas) Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Mior Faridalathrash berkata, mayat janin dihantar ke Unit Forensik Hospital Slim River untuk dibedah siasat.

"Berdasarkan rakaman percakapan saksi pertama dia tiba di lokasi untuk membuat semakan sistem kumbahan kerana terdapat aduan tersumbat.

"Tempat kejadian merupakan kawasan loji berkeluasan 0.4 hektar dalam keadaan berpagar dan berkunci," katanya.

Jelasnya, siasatan lanjut akan diteruskan untuk mengesan saksi-saksi dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.