Enakmen Halal Selangor dipinda, diperluas ikut keperluan semasa

Mohd Zawawi (depan, tengah) bergambar selepas Sesi Dialog Aspirasi Pembangunan Industri Halal Selangor Bersama Pemain Industri Kecil dan Sederhana dan Iftar Ramadan di Bangunan SSAAS pada Jumaat.
Mohd Zawawi (depan, tengah) bergambar selepas Sesi Dialog Aspirasi Pembangunan Industri Halal Selangor Bersama Pemain Industri Kecil dan Sederhana dan Iftar Ramadan di Bangunan SSAAS pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Enakmen Halal Selangor akan dipinda dan ditambah baik mengikut keperluan semasa industri halal di negeri tersebut.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pindaan tersebut kini berada dalam proses akhir sebelum dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Oktober depan.

Menurutnya, pindaan berkenaan dibuat untuk memperluaskan segmen halal daripada enakmen sedia ada sebelum ini.

"Sebenarnya enakmen asal berkaitan halal sebelum ini adalah ringkas dan tidak menyeluruh.

"Kita jangkakan pada tahun ini boleh siap dan kajian telah dilakukan oleh pihak pakar untuk meneliti daripada aspek perundangan kerana kita tidak mahu ia bertembung dengan akta Persekutuan.

"Jadi ini (perincian enakmen) ditambah supaya ia merangkumi banyak bidang kerana sebelum ini ia hanya fokus kepada makanan sahaja tetapi sekarang kita ada bidang farmasi, ubat-ubatan, instrumen kewangan, pelancongan dan pakaian."

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Sesi Dialog Aspirasi Pembangunan Industri Halal Selangor Bersama Pemain Industri Kecil dan Sederhana (SME) dan Iftar Ramadan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zawawi turut menyasarkan untuk membawa syarikat-syarikat industri halal ke ekspo luar negara bagi tujuan menembusi pasaran antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sebanyak lima syarikat disasarkan untuk tujuan tujuan pelaburan daripada pihak luar.

"Baru-baru ini kita mendapat maklum balas daripada sebuah syarikat yang mempunyai keupayaan modal dan pengeluaran yang cukup untuk ke luar negara.

"Setakat ini baharu satu syarikat, tapi kita sasarkan lima syarikat yang layak," katanya.

Sesi dialog antara kerajaan Selangor bersama pihak SME yang diadakan itu bertujuan memberi penerangan dan penjelasan kepada pemain industri berkenaan hal-hal pensijilan halal, proses mendapatkan sijil halal serta isu berbangkit yang berkaitan.

Beliau berkata, ia diadakan bagi memberikan penerangan tentang program kerajaan Selangor untuk merangsang kegiatan ekonomi berkaitan industri halal di Selangor dan insentif yang disediakan membantu mengembangkan perniagaan di Selangor.