Belanja ePemula RM150 dengan bijak: PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama para pelajar selepas melancarkan program e-Pemula di Universiti Multimedia pada Jumaat. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama para pelajar selepas melancarkan program e-Pemula di Universiti Multimedia pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru golongan belia yang layak menerima inisiatif ePemula berbelanja dengan bijak.

Menurutnya, kredit RM150 tersebut boleh digunakan untuk menyokong perniagaan pengusaha tempatan terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) secara fizikal selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, langkah ini membolehkan peniaga dapat pulih sepenuhnya.

"Sekiranya lebih banyak perniagaan pulih, negara dapat memperoleh lebih banyak hasil sekali gus lebih ramai rakyat terutamanya golongan B40 boleh dibantu.

"Bagi pembeli pula, mereka tidak perlu lagi membawa dompet atau beg duit fizikal apabila sumber kewangan sentiasa ada dalam aplikasi e-dompet masing-masing," katanya dalam ucapan majlis pelancaran ePemula dekat sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ismail berkata, program ePemula adalah memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia di samping meringankan beban kewangan belia.

"Sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi inisiatif ini dan ia dijangka memanfaatkan seramai dua juta orang belia seluruh negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pada masa ini, semakin ramai usahawan dan para peniaga termasuk PMKS melakukan transaksi secara e-tunai.

"Usahawan PMKS turut disaran mengamalkan urus niaga tanpa tunai dan pengguna juga semakin yakin dengan penggunaan e-tunai melalui pelbagai e-dompet," katanya.

Beliau berkata, transaksi secara e-tunai berkembang dengan ketara sebanyak RM50.5 bilion direkodkan pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya, RM29.6 bilion.

"Kerajaan komited untuk terus menggalakkan pembayaran secara elektronik dalam kalangan peniaga dan pengguna bagi mewujudkan masyarakat Keluarga Malaysia tanpa tunai," katanya.

Inisiatif ePemula terbuka kepada golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan layak mendaftar untuk menerima RM150 dalam bentuk kredit e-tunai di bawah program itu, mulai 11 April.

Tempoh pendaftaran dan tuntutan ePemula berakhir sehingga 1 Jun depan, manakala kredit e-Pemula serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-tunai tersebut boleh dibelanjakan sehingga 10 Jun.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata, sebanyak lebih 1.2 juta touchpoints boleh digunakan melalui jaringan perniagaan runcit menerusi e-dompet yang mengambil bahagian melalui BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go.

"Jaringan yang luas ini akan memastikan pelaksanaan ePemula secara menyeluruh di seluruh negara, termasuk bandar kecil, lantas memanfaatkan lebih ramai belia dan pelajar, selain membudayakan satu sistem pembayaran tanpa tunai lebih mudah, telus serta selamat," katanya.

Katanya, peningkatan jumlah transaksi tanpa tunai sebanyak 74.4 peratus berbanding tahun 2020 kepada 1.1 billion pada tahun 2021 juga jelas menggambarkan bahawa peniaga dan pengguna semakin selesa menggunakan fasiliti tanpa tunai di premis perniagaan.

"Untuk makluman, kod QR DuitNow ini adalah satu kod standard yang boleh menerima bayaran melalui pelbagai jenis e-dompet.

"Melalui Program ePemula, kerajaan berharap agar momentum e-tunai ini kekal, terutamanya bagi meneruskan usaha dalam memacu penggunaan perkhidmatan kewangan digital," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan e-tunai bukan sahaja memudahkan pengguna, tetapi juga mengutamakan aspek keterangkuman, keselamatan dan ketelusan.