Polis siasat kes murid cedera dipukul guru

PDRM
PDRM
A
A
A

BENTONG- Polis menjalankan siasatan berhubung kes seorang guru yang didakwa mendatangkan kecederaan ke atas seorang murid perempuan tahun empat sebuah sekolah di daerah ini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati guru lelaki berusia 50 tahun bertindak memukul bahagian belakang badan mangsa menggunakan tangan hingga mengalami kecederaan.

Menurutnya, murid berkenaan telah dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.

"Doktor yang merawatnya mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian badan yang dipukul guru berkenaan.

"Bapa mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian memandangkan kes masih dalam siasatan.

"Sebarang penyaluran maklumat, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan: