Rugi RM55,250 diperdaya sindiket tawaran kerja

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang jurujual wanita sebuah syarikat swasta kerugian sebanyak RM55,250 dipercayai diperdaya sindiket tawaran kerja dalam talian pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan polis berkenaan pengeluaran wang daripada akaun mangsa tanpa kebenaran.

"Dalam kes tersebut, mangsa seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang merupakan seorang jurujual di sebuah syarikat swasta, telah menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp dari nombor yang tidak dikenali menawarkan pekerjaan secara dalam talian.

"Percaya dengan tawaran kerja tersebut, mangsa telah mendaftar melalui link yang diberikan dan telah mengisi maklumat peribadi serta perbankan milik mangsa untuk tujuan pembayaran pendaftaran," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, mangsa kemudiannya telah menerima notifikasi pesanan ringkas daripada bank.

"Mangsa dimaklumkan terdapat pengurangan wang sebanyak RM55,250 di dalam akaun bank milik mangsa.

"Mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis berkaitan kejadian," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati modus operandi menggunakan platform carian kerja untuk mendapatkan butiran perbankan mangsa dengan cara yang tidak sah seperti ini merupakan trend terkini yang digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"Sindiket menggunakan cara membuat pindahan wang melalui akaun mangsa tanpa kebenaran.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!