Kesedaran rasuah perlu ada dalam masyarakat: Ras Adiba

Ras Adiba (tengah) dalam satu pertemuan bersama pasukan Rasuah Busters di Bernama pada Khamis.
Ras Adiba (tengah) dalam satu pertemuan bersama pasukan Rasuah Busters di Bernama pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesedaran tentang rasuah perlu ada dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda bagi memastikan kegiatan ini dapat dikekang sedikit demi sedikit sekali gus menjadikan Malaysia bebas rasuah.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Ras Adiba Radzi berkata, ia supaya peringatan dapat diberikan kepada rakyat terutamanya kepada generasi muda tentang bahayanya rasuah.

Beliau berkata, sekiranya Rasuah Busters tidak melakukan sesuatu dan tidak berusaha seperti yang dilakukan, negara ini akan menjadi antara penerima rasuah tertinggi di seluruh dunia.

"Ini bukan sesuatu yang mudah dilakukan terutama dalam keadaan semasa kita sekarang. Namun begitu sesuatu perkara perlu dilakukan," katanya dalam satu pertemuan bersama pasukan Rasuah Busters di Bernama pada Khamis.

Hadir sama dalam pertemuan terbabit ialah pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin, pengurusan Bernama dan Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.

Ras Adiba (tengah), Nurhayati (empat dari kiri) bersama pengurusan Bernama dan pasukan Rasuah Busters dalam pertemuan yang diadakan di pejabat Bernama pada Khamis.
Ras Adiba (tengah), Nurhayati (empat dari kiri) bersama pengurusan Bernama dan pasukan Rasuah Busters dalam pertemuan yang diadakan di pejabat Bernama pada Khamis.

Ras Adiba turut mengakui adalah amat sukar untuk mengubah persepsi masyarakat tentang rasuah.

"Namun begitu, ini sesuatu yang kita boleh lakukan bersama-sama perlahan-lahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nurhayati berkata, pertemuan bersama pengurusan Bernama adalah bagi memperkukuhkan jalinan usaha sama media dalam bersama-sama menggerakkan sebuah gerakan massa.

"Bernama dan Rasuah Busters sudah berada dalam kerjasama ini setahun yang lalu. Tetapi kami percaya bahawa perbincangan dan pengukuhan hubungan yang kita lakukan hari ini dapat menambah baik kedudukan kempen atau kesedaran agar lebih sampai ke seluruh ekosistem dalam negara," katanya.

Nurhayati berkata, antaranya adalah seperti perkongsian aktiviti yang dilakukan oleh Rasuah Busters dan penyampaian berita berkaitan integriti, amanah dan rasuah.