Amirudin saingi 16 calon lain rebut jawatan Naib Presiden PKR

Amirudin (empat, kanan) ketika Majlis Iftar Perdana Unisel di Dataran Konvo Unisel Kampus Bestari Jaya, pada Selasa.
Amirudin (empat, kanan) ketika Majlis Iftar Perdana Unisel di Dataran Konvo Unisel Kampus Bestari Jaya, pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sedia memberikan saingan sengit kepada 16 calon lain bagi jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan penggal 2022/2025.

Amirudin berkata, persaingan dalam pemilihan PKR itu satu proses biasa kerana setiap calon bertanding mempunyai kepercayaan dan keyakinan masing-masing.

"Apa yang lebih penting, kita (calon PKR bertanding pemilihan parti) berusaha yang terbaik untuk kebaikan dan kejayaan parti," katanya.

Mengulas mengenai peluang beliau untuk mengisi empat tempat bagi jawatan itu berikutan terdapat 16 calon lain turut menawarkan diri jawatan sama, Amirudin berkata, beliau berusaha memberikan yang terbaik untuk kelangsungan parti itu pada masa depan.

"Seramai 17 calon (bertanding Naib Presiden PKR) mungkin cabaran, tetapi saya pernah bertanding dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang ada 50 hingga 60 calon bagi mengisi 20 yang terbaik.

"Selain itu, keputusan menawarkan diri ini dibuat setelah berbincang beberapa kali dan bertemu dengan pimpinan PKR," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Iftar Perdana Universiti Selangor (Unisel) di Dataran Konvo Unisel Kampus Bestari Jaya di sini, pada Selasa.

Kata Amirudin, beliau percaya dan yakin bahawa penyertaannya dalam pemilihan PKR membawa kebaikan kepada parti itu.

Menurut beliau, semua calon bagi jawatan itu mempunyai kelebihan masing-masing untuk mendapatkan sokongan.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH kita baru bermula dan daripada maklum balas awal yakinlah (menang) dan sebab itu saya masuk (bertanding).

"Namun, kita tahu bahawa ini politik dan masing masing akan berkempen dan sebagainya," kata Amirudin lagi.

Sementara itu Amirudin berkata, tidak timbul masalah bagi perebutan jawatan itu susulan terdapat saingan daripada rakan sejawatannya iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut bertanding jawatan sama dalam pemilihan PKR kali ini.

"Semua yang bertanding ingin memberikan sumbangan masing-masing kepada parti termasuk Aminuddin.

"Saya bersama-sama dengan beliau selalu berkomunikasi malah di peringkat awal kita bersetuju salah seorang (bertanding) namun atas permintaan pimpinan,kedua-duanya menawarkan diri bertanding," katanya.