Pengurus syarikat rugi RM59,000 terpedaya pinjaman tak wujud

No Image Caption
A
A
A

KUCHING – Seorang pengurus syarikat kerugian sebanyak RM59, 000 akibat terpedaya dengan penipuan pinjaman tidak wujud di laman web.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata pada 28 Feb lalu, wanita yang berusia 42 tahun itu telah memohon pinjaman sejumlah RM80, 000 setelah melihat satu iklan tawaran pinjaman di laman web.

“Kemudian mangsa telah diarahkan untuk membayar wang kelulusan pinjaman berjumlah RM59, 000 ke dalam lima akaun yang berlainan di antara tempoh 5 hingga 18 Mac.

“Mangsa mula menyedari dirinya telah ditipu setelah membuat bayaram namun tidak menerima apa-apa maklum balas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Mustafa, satu lagi kes melibat seorang jurujual berusia 27 tahun yang kerugian lebih RM7,000.

“Mangsa telah menerima pesanan menerusi aplikasi Whatapp menawarkan pinjaman wang sebanyak RM10,000 dengan bayaran bulanan sebanyak RM158 selama tujuh tahun dengan syarat membayar wang pemprosesan sebanyak RM600.

“Setelah membuat pembayaran keseluruhan sebanyak RM7,100 ke satu nombor akaun sebanyak empat kali transaksi pada 20 hingga 22 Mac, mangsa yang merasakan dirinya telah ditipu membuat laporan polis,” katanya.

Mustafa menasihati orang ramai supaya mendapatkan pinjaman wang daripada institusi yang sah, koperasi atau syarikat pinjaman wang berlesen yang tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Suruhanjaya Koperasi 2007 dan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. - Bernama

Artikel Berkaitan: