Pengeluar, pemborong ayam di Johor dikompaun RM73,300

Anggota penguat kuasa menjalankan siasatan ke atas sebuah syarikat pengeluar ayam di Skudai.
Anggota penguat kuasa menjalankan siasatan ke atas sebuah syarikat pengeluar ayam di Skudai.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM73,300 kepada 10 pengeluar ayam di peringkat ladang dan 13 pemborong di seluruh negeri ini pada Selasa.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, sebuah syarikat perniagaan pengeluar ayam (peladang) di Skudai turut dikenakan kompaun sebanyak RM30,000.

Menurutnya, kompaun itu dikeluarkan selepas anggota penguat kuasa di Johor Bahru melakukan siasatan lanjut terhadap rantaian pembekalan serta pengedaran jualan ayam bermula dari tindakan rantaian pemeriksaan terhadap peruncit serta pemborong.

"Sebanyak 13 kes terhadap pemborong ayam di sekitar Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, dan Kluang dikesan menjual melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan.

"Pemborong ayam terbabit dikenakan kompaun mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, KPDNHEP Johor berkata, pihaknya telah melakukan 3,088 pemeriksaan di peringkat peruncit, pemborong dan peladang dalam tempoh tempoh kuat kuasa Penentuan Harga Maksimum (PHM) bagi ayam dan telur yang bermula sejak 5 Februari lalu.

Sebanyak 94 kes telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan jumlah kompaun sebanyak RM 89,700.

"Justeru, peniaga dinasihatkan tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya dalam tempoh ini.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya mendapati ada peniaga yang melakukan kesalahan berkaitan bekalan dan harga. Pengguna juga boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga kepada pihak kementerian," katanya.