[VIDEO] MPV dibakar dipercayai bawa lembu curi

Beberapa ekor lembu turut kelihatan berhampiran MPV yang terbakar di Felda Neram, Kemamam.
Beberapa ekor lembu turut kelihatan berhampiran MPV yang terbakar di Felda Neram, Kemamam.
A
A
A

KEMAMAN - Beberapa video tular memaparkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai digunakan untuk mencuri lembu dibakar dalam kejadian di Felda Neram, di sini.

Video berdurasi 17 saat di sebuah ladang kelapa sawit itu turut memaparkan, beberapa ekor lembu berhampiran MPV berkenaan tersebut selain menunjukkan beberapa individu membalikkan kenderaan itu sebelum ia terbakar.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya meminta individu mempunyai maklumat berhubung video tular itu tampil bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan bahan api sehingga menyebabkan kebakaran.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau berada di lokasi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan kes tersebut.

"Kita juga belum menerima maklumat daripada mana-mana pihak yang mendakwa kehilangan lembu peliharaan yang dikatakan berkait dengan kebakaran MPV itu sebagaimana maklumat yang tular," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.

Tangkap layar video memaparkan berapa individu membalikkan MPV yang dikatakan digunakan untuk mencuri lembu.
Tangkap layar video memaparkan berapa individu membalikkan MPV yang dikatakan digunakan untuk mencuri lembu.

Hanyan berkata, setakat ini kejadian itu masih belum boleh dikaitkan dengan insiden kecurian lembu kerana tiada sebarang laporan diterima.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, lokasi berkenaan merupakan lokasi yang pernah berlaku insiden kecurian lembu kerana tidak dijaga dengan baik malah pihak polis pernah menyelesaikan beberapa kes kecurian lembu di kawasan itu dua tahun lalu.

"Jika ada laporan kehilangan atau kecurian lembu, kita akan buka siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Buat masa ini siasatan dibuka berdasarkan laporan pertama iaitu membakar kenderaan," katanya.

Dalam pada itu, Hanyan turut mengingatkan masyarakat supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung kes jenayah dan tidak mengambil tindakan sendiri.

Pada Isnin tular beberapa video yang dikongsikan di laman Facebook dan aplikasi mudah alih, WhatsApp menunjukkan sebuah kenderaan MPV yang dikatakan diguna untuk mencuri lembu dibakar.