Jualan di bazar Aidilfitri masih perlahan

Jualan di bazar Aidilftri Stadium, Kuantan didakwa masih perlahan akibat kekurangan pelanggan. (Gambar kecil: Zarina)
Jualan di bazar Aidilftri Stadium, Kuantan didakwa masih perlahan akibat kekurangan pelanggan. (Gambar kecil: Zarina)
A
A
A

KUANTAN - Peniaga bazar Aidilfitri sekitar bandar raya Kuantan mendakwa jualan pelbagai kelengkapan hari raya agak perlahan dan hanya kira-kira 30 peratus jualan diperoleh setakat 10 Ramadan.

Peniaga pakaian, Zarina Jais, 57, berkata, jualan itu merosot berbanding 10 Ramadan tahun lalu apabila pengguna dilihat kurang berbelanja.

"Pengguna ramai datang ke bazar tetapi mereka tidak berbelanja dan mereka hanya membuat tinjauan dari segi harga pakaian.

"Jadi, boleh saya katakan jualan agak perlahan tahun ini, kalau dulu pengguna datang melihat pakaian dan terus membeli, tapi kali ini sedikit berbeza," katanya ketika ditemui di Bazar Aidilfiti Stadium di Stadium Darul Makmur di sini pada Selesa,

Tinjauan Sinar Harian di Bazar Aidilfitri Stadium dan Bazar Aidilfitri Dataran Sekilau mendapati pelbagai kelengkapan Hari Raya seperti baju kurung, baju Melayu, tudung dan songkok serta tanjak dijual, namun pelanggan tidak ramai.

Dia yang mengusahakan perniagaan ini lebih empat tahun lalu berkata, pengguna yang lebih gemar membeli kelengkapan hari raya di pusat beli-belah berbanding bazar Aidilfitri juga menjadi faktor kepada kekurangan pelanggan.

"Kami harap selepas pengguna memperolehi wang daripada pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka dapat berbelanja di bazar," katanya.

Senada dengan Zarina, peniaga tudung, Norlida Abdullah, 46, berkata, selalunya pengguna membuat persiapan awal bagi sambutan hari lebaran dengan membanjiri bazar Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Norlida menyusun tudung yang dijual di bazar Aidilfitri Stadium di Kuantan sementara menunggu pelanggan yang didakwa semakin berkurangan.
Norlida menyusun tudung yang dijual di bazar Aidilfitri Stadium di Kuantan sementara menunggu pelanggan yang didakwa semakin berkurangan.

Katanya, namun kali ini ia berlaku sebaliknya dan pengguna hanya ramai apabila hujung minggu dan cuti umum.

“Sambutan itu ada, tetapi jualan agak perlahan mungkin kebanyakan pengguna menunggu sehingga ke saat akhir untuk membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri.

"Jadi, sebab itu, tidak ramai orang mengunjungi bazar Aidilfitri lebih-lebih lagi pada waktu bekerja," katanya yang sudah 10 tahun berniaga tudung.

Seorang lagi peniaga aksesori, Zailan Aziz, 40, berkata, pengguna masih membeli pelbagai aksesori seperti cermin mata, butang baju, keronsang dan pelbagai barang perhiasan lain walaupun dalam jumlah yang lebih kecil berbanding tahun lalu.

Jelasnya, ini mungkin kerana mereka mahu menggunakan kelengkapan yang lama yang belum digunakan sebelum ini.

"Jumlah pengunjung yang membeli-belah barangan aksesori kurang berbanding tahun lalu tetapi tidak pasti sama ada ia adalah disebabkan oleh ekonomi atau pembeli telah beralih ke pusat beli-belah yang lain di bandar raya ini," katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Nur jihah Ibrahim, 25, mengakui gemar berkunjung ke bazar pada saat-saat akhir kerana ketika itu ramai peniaga melelong barangan mereka pada harga yang murah.

"Awal-awal Ramadan ini saya hanya membuat tinjauan harga terlebih dahulu, dan penghujung Ramadan baru buat pembelian," katanya.