12 rakyat Malaysia selamat dibawa pulang

Amran bersama Abd Jalil dan Nicole Wong ketika sidang akhbar pada Selasa.
Amran bersama Abd Jalil dan Nicole Wong ketika sidang akhbar pada Selasa.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seramai 12 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Selasa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Negara, Datuk Amran Mohamed Zin berkata, empat lagi mangsa yang sepatutnya dibawa pulang pada hari yang sama, terpaksa menjalani kuarantin di Kemboja kerana positif Covid-19.

Menurutnya, usaha membawa pulang kumpulan 16 warganegara Malaysia itu adalah hasil kerjasama antara Kementerian Luar Negara, Polis Kemboja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Negara ASEAN (ASEANAPOL).

"Ini merupakan satu bentuk kerjasama yang semakin meningkat di antara Malaysia dan Kemboja terutamanya dalam menentukan kebajikan rakyat kita yang terkandas di Kemboja untuk dibawa pulang.

"Walaupun kerajaan Kemboja mendapati bahawa mereka telah menyalahi ataupun terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang di Kemboja, namun tindakan undang-undang kepada mereka itu diketepikan supaya kita dapat bawa balik rakyat kita yang terkandas di negara tersebut.

"Mereka (yang positif Covid-19) terpaksa menjalani kuarantin selama tujuh hari di Kemboja dan insya-ALLAH kita akan teruskan kerjasama ini dengan pihak Kemboja melalui kedutaan kita, melalui PDRM untuk membawa mereka pulang apabila mereka negatif selepas tujuh hari kuarantin.

"Pada masa ini kedutaan kita memantau keadaan mereka dan akan terus memberi bantuan kepada mereka untuk urusan seterusnya," katanya dalam sidang media di klia2 pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong Siaw Ting.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mangsa terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita semuanya berusia lingkungan 19 hingga 43 tahun.

Pada Sabtu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan 16 rakyat Malaysia sedang disoal siasat pihak berkuasa di Kemboja

Saifuddin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kesemua individu terbabit dan mengesahkan semua mangsa berada dalam keadaan yang baik.