Lelaki cabul tiga wanita di Cyberjaya didakwa esok

Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof
Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang penghantar makanan yang ditahan berkaitan kes cabul tiga wanita di sebuah bangunan di Cyberjaya akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 20 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret esok atas tiga pertuduhan berkaitan tiga kes cabul.

"Ia termasuk kes cabul yang dilakukan oleh suspek pada Disember lalu turut mendapat persetujuan Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada 6 April lalu, media melaporkan seorang penghantar makanan diberkas kerana melakukan dua kes cabul di sebuah bangunan di Cyberjaya, di sini pada 5 April lalu.

Dalam kejadian pertama, suspek mencabul seorang wanita berusia 27 tahun di kawasan parkir, pada jam 2 petang.

Wanita yang bekerja sebagai pembantu peribadi itu dicabul ketika suspek membantu mangsa memasukkan barang ke dalam kenderaannya.

Kes kedua membabitkan seorang wanita bekerja sendiri berusia 34 tahun.

Kejadian berlaku di hadapan lif di tingkat dua bangunan itu berselang 15 minit selepas kes pertama.

Artikel Berkaitan:

Hasil maklumat, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang dan polis Cyberjaya memberkas suspek di rumahnya di Taman Putra Perdana, Puchong.

Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes curi motosikal dan memiliki barang curi.