Hina orang Kelantan, ini pesan Pas kepada Pengerusi SPR

Abdul Hadi (tiga,kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian Pasar Pagi Sabtu semasa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-41 Pas Kawasan Rantau Panjang di Dewan Abdul Samad Gul, Pusat Tarbiyah Kawasan Rantau Panjang.
Abdul Hadi (tiga,kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian Pasar Pagi Sabtu semasa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-41 Pas Kawasan Rantau Panjang di Dewan Abdul Samad Gul, Pusat Tarbiyah Kawasan Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pas mencabar Azhar Harun melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bertanding pada PRK Rantau selepas mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap rakyat Kelantan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebagai Pengerusi SPR, Azhar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Kalau rasa hebat, saya cadangkan dia letak jawatan dan masuk bertanding pilihan raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas kenyataan Azhar yang berbaur penghinaan terhadap rakyat Kelantan.

Semalam, Azhar menerusi sebuah portal berita berkata cadangan untuk melakukan pendaftaran pengundi secara automatik sukar dilakukan kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan pengundi membuang undi di tempat mula mendaftar walaupun tinggal di tempat lain.

Kata Azhar, disebabkan perkara itu 60,000 orang Kelantan balik ke Kelantan untuk mengundi dan menyokong hudud sedangkan pada masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.

Terdahulu, Abdul Hadi merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-41 Pas Kawasan Rantau Panjang di Dewan Abdul Samad Gul, Pusat Tarbiyah Kawasan Rantau Panjang di sini.

Pada majlis tersebut, beliau turut merasmikan Pasar Pagi Sabtu di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hadi turut mempersoalkan Azhar adakah beliau memeriksa satu persatu orang Kelantan di perantauan berbuat demikian sebagaimana yang dimaksudkan itu.

"Di Makkah ada Abu Jahal, Mesir ada Firaun. Kita tidak kata Kelantan baik pada Makkah, tapi Alhamdulillah.

"Dia tak tahu ke orang Kelantan paling ramai di universiti, pegawai tadbir banyak orang Kelantan, ada banyak pusat pengajian pondok," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, Pas akan terus membantu UMNO pada PRK Rantau nanti.

Katanya, beliau berkeyakinan UMNO akan terus mempertahankan kerusi tersebut pada PRK itu nanti.