Tiga lelaki ditahan dipercayai curi gelung kabel tembaga

Polis berjaya menyelesaikan kes kecurian 21 gelung kabel tembaga bernilai RM42,000 dalam tempoh 24 jam. - Foto Facebook Polis Jasin
Polis berjaya menyelesaikan kes kecurian 21 gelung kabel tembaga bernilai RM42,000 dalam tempoh 24 jam. - Foto Facebook Polis Jasin
A
A
A

JASIN - Polis berjaya menyelesaikan kes kecurian 21 gelung kabel tembaga bernilai RM42,000 dalam tempoh 24 jam, selepas menahan seorang pengawal keselamatan sebuah tapak pembinaan milik kilang kaca bersama dua rakannya, dalam serbuan berasingan pada 8 April lepas.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superitendan Mispani Hamdan berkata, tangkapan ke atas semua suspek lelaki berusia 31 hingga 35 tahun itu, dibuat selepas laporan dibuat seorang jurutera projek di tapak pembinaan itu di Lipat Kajang di sini, kira-kira 1.15 tengah hari pada 7 April lepas, yang mendapati gelung tembaga yang disimpan sejak sebulan lalu dalam kontena telah hilang.

"Tangkapan pertama kira-kira pukul 2 pagi membabitkan suspek berusia 35 tahun, membawa kepada penahanan dua lagi suspek iaitu bekas pengawal keselamatan berumur 34 tahun yang baharu berhenti kerja di kilang yang sama, dua hari sebelum kejadian itu disedari serta rakannya, seorang penganggur berusia 31 tahun kira-kira pukul 10 dan 11 malam.

"Hasil soal siasat kesemua suspek telah mengaku mencuri empat gelung kabel tembaga itu dan dijual kepada seorang penjual barangan lusuh berusia 41 tahun di Batu Berendam, dengan harga RM6,000,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mispani berkata, kesemua suspek baharu sahaja menerima bayaran pendahuluan sebanyak RM3,000, selain polis turut merampas empat gelung yang dijual kepada peniaga terbabit.

Katanya, pihaknya kini masih lagi sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan baki 17 gelung kabel timah yang dicuri dan dijual oleh suspek-suspek berkenaan, selain turut mengeluarkan kompaun ke atas peniaga terbabit yang didapati tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.

"Kita juga sedang menyiasat lanjut kes itu, sekiranya suspek-suspek tersebut terlibat dalam kejadian kecurian jongkong timah bernilai RM120,000 di tapak pembinaan yang sama, yang berlaku pada Januari lepas.

"Kesemua mereka direman selama lima hari dari tarikh ditangkap dan hasil semakan lanjut mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala saringan ujian air kencing didapati negatif, dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: