Jangan pertikai keputusan Kelantan: MB Kelantan

Wan Jamil (dua, kanan) mengetuai serahan borang keahlian Pas kepada Ahmad.
Wan Jamil (dua, kanan) mengetuai serahan borang keahlian Pas kepada Ahmad.
A
A
A

SELAMA - Keputusan Kerajaan Kelantan yang tidak membenarkan panggung wayang beroperasi tidak seharusnya dipertikai dan dijadikan modal politik terutama oleh DAP.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, perkara itu tidak perlu dibangkitkan kerana telah lama diputuskan kerajaan Pas iaitu sejak pimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, dengan perkembangan pesat media sosial, orang ramai berupaya mencari kepuasan hiburan sendiri tanpa perlu adanya panggung wayang.

"Hari ini kita ada media-media baru yang boleh memberi kepuasan kepada kita mendapatkan akses kepada apa sahaja.

"Jadi tidak perlulah kita nak susahkan kerajaan tempatan dan sebagainya, sebab kita nak kawal nanti agak susah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Larut kali ke 57 di Dewan Majlis Daerah Selama, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Pas Kawasan Larut, Mohd Akmal Kamarudin dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Muhammad Amin Zakaria.

Timbalan Mursyidul Am Pas itu berkata, pertikaian yang dibuat wakil rakyat DAP termasuk mengaitkan dengan peningkatan kes HIV hanya menunjukkan satu lagi cubaan untuk melemahkan sokongan terhadap Islam.

Katanya, DAP perlu membuat perbandingan dengan negeri-negeri lain dan melihat masalah HIV sebagai tanggungjawab bersama yang berpunca daripada perbuatan tidak bermoral.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri sendiri bekerja keras memberi kesedaran dan mencegah perkara ini, jadi tidak betullah kalau mereka mengaitkan dengan HIV, kena lihat juga data negeri lain.

"Sempadan kita dengan Thailand terlalu panjang jadi pelbagai perkara boleh masuk termasuklah dadah. Daripada laporan dan semakan yang kita terima pun biasanya individu yang terlibat adalah mereka yang berada berhampiran laut dan sempadan," katanya.

Ahmad berkata, ini bukanlah tindakan pertama dilakukan DAP mencabar sejauh mana kekuatan Islam dengan menyasarkan Kelantan.

"Saya percaya, jika kekuatan dalaman PH itu sendiri kuat, pasti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dipertahan, tetapi jika unsur-unsur menghina ini berterusan menunjukkan dalaman mereka mereka tiada kekuatan," katanya.

Kali terakhir Kelantan mempunyai panggung wayang adalah pada 1990 sebelum Pas mengambil alih pentadbiran daripada BN. Panggung wayang itu terletak di Jalan Pos Office Lama, Kota Bharu.

Dalam majlis itu, Ahmad turut menerima 61 borang keahlian Pas yang baharu dari Kawasan Larut.

Antara yang menyerahkan borang keahlian adalah bekas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik, 61, yang bersara tahun lalu.